IPR bantu miskin tegar tingkat pendapatan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BUKIT PALAH 18 Ogos – Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dijangka mampu membantu sebanyak 365 keluarga miskin tegar di negeri ini menikmati jumlah pendapatan yang lebih tinggi.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, ketika ini pihaknya sedang berusaha untuk mengenal pasti lebih banyak keluarga dengan pendapatan bawah RM1,500 setiap bulan.

Katanya, usaha mengumpul data itu dilakukan dengan kerjasama daripada ketua kampung, penghulu selain Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Setakat ini 365 keluarga di Negeri Melaka dikenal pasti sebagai miskin tegar, kita sudah berhubung dengan mereka untuk dibantu. Menjadi hasrat Kerajaan Negeri bagi mencapai sasaran sifar miskin tegar.

“Kita mahu bawa lebih ramai orang Melaka keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya ketika ditemui selepas Program Ceramah Perdana ‘Di Dunia Suri Hati, Di Syurga Bidadari’ anjuran Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, di Masjid Al-Azim, di sini, hari ini.

Beliau, turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang begitu prihatin dan menyokong inisiatif itu.

Kalsom yang juga Pengerusi IPR Negeri Melaka berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar, miskin dan B40 dengan menjana pendapatan menerusi kerjasama kerajaan, rakyat serta rakan strategik.

“Melalui IPR ini kita akan lihat kemahiran atau apa usaha mereka boleh lakukan untuk tambah pendapatan isi rumah.

“Contoh jika mahu berniaga pisang goreng, IPR akan sediakan kelengkapan kepada mereka. Inisiatf IPR ini mempunyai beberapa cabang antaranya kemahiran dan pertanian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1111
Kongsi :
Previous post Usaha jadikan Masjid Tanah daerah baharu tidak dihentikan
Next post Perbaharui lesen niaga, dapat Jalur Gemilang
Ubah saiz-+=