Isi maklumat balik kampung, elak kehilangan harta benda

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

DUYONG 26 April – Polis Melaka menyarankan masyarakat di negeri yang akan meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung supaya mengisi borang maklumat balik kampung.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata borang berkenaan akan diedarkan menerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) masing-masing atau boleh didapati di balai polis berhampiran.

Katanya, perkara itu memudahkan polis memantau keselamatan harta benda di kawasan perumahan dalam tempoh cuti perayaan yang panjang.

“Polis akan membuat rondaan ke kediaman yang ditinggalkan bagi menjamin keselamatan harta benda secara berkala,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Kempen Cegah Jenayah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Taman Seri Duyong, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Zainol, turut menyarankan orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya menyedari sebarang aktiviti mencurigakan di kejiranan mereka.

“Kita akan bertindak segera bagi memastikan keselamatan orang ramai dan masyarakat setempat pada musim perayaan ini lebih terjamin,” katanya.

Terdahulu, polis Melaka turut menerima sumbangan 10 unit basikal daripada Lions Club Melaka untuk diserahkan kepada Unit Polis Pelancong negeri.

Menurutnya, basikal itu akan digunakan oleh unit berkenaan bagi memantau keselamatan lokasi pelancongan di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

703
Kongsi :
Previous post UTeM hulur sumbangan kepada pelajar B40
Next post Tapak pelupusan mercun di Sentul terbakar
Ubah saiz-+=