UTeM hulur sumbangan kepada pelajar B40

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 April – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengagihkan sumbangan berjumlah RM64,250 kepada sebahagian daripada 145 pelajar B40 universiti itu.

Bantuan itu disampaikan pada Majlis Penyerahan Replika Cek dan Sumbangan Kebajikan Pelajar serta Perasmian Program Altruistik, berlangsung di Dewan Pusat Sukan Kampus Induk UTeM, semalam.

Setiap pelajar dalam kalangan B40 sudah dikenal pasti layak menerima sumbangan berjumlah RM250.

EXCO Pendidikan negeri Datuk Rais Yasin berkata, sumbangan berkenaan diharap akan menyuntik semangat dan mendorong pelajar untuk berusaha lebih gigih hingga memperoleh kecemerlangan.

“Siswa dan siswi UTeM perlu merancang perjalanan kehidupan mereka sepanjang tempoh pengajian.

“Gunakan peluang ketika di universiti dengan sebaiknya untuk memperbaiki kehidupan dan cita-cita yang mereka impikan,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor UTeM, Prof Dr Massila Kamalrudin berkata, program itu adalah  selaras dengan hasrat untuk menjadikan 2022 sebagai tahun kebajikan pelajar.

“Sumbangan bukan hanya dalam bentuk tunai, malah membabitkan latihan kepimpinan altruistik kepada 6,000 pelajar dijalankan menerusi beberapa siri,” katanya.

Pada majlis itu turut diadakan Program Kepimpinan Altruistik siri ketiga anjuran bersama Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Kementerian Belia dan Sukan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar UTeM.

Sementara itu pada akhir majlis turut berlangsung penyerahan replika cek pihak Agrobank, i-LEAD dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kepada pihak UTeM.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1150
Kongsi :
Previous post MHI, MTA agih 800 bekas bubur lambuk
Next post Isi maklumat balik kampung, elak kehilangan harta benda
Ubah saiz-+=