Isu pemerdagangan orang, KDN akan hantar laporan lengkap ke Jabatan Negara AS – Hamzah

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

PETALING JAYA, 4 Ogos – Kementerian Dalam Negeri akan menghantar laporan lengkap merangkumi rakaman video dokumentari mengenai usaha Malaysia menangani isu pemerdagangan orang ke Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dokumentari yang akan dihantar itu akan memaparkan nasib mangsa kes pemerdagangan yang telah diselamatkan sekali gus memberikan gambaran sebenar usaha antipemerdagangan orang yang telah dilakukan di negara ini.

“Semua itu kita lakukan untuk memaklumkan kepada dunia kita tidak mengambil (isu) ini sebagai sesuatu yang mudah, ringan, begitu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia Tahun 2022 di Rumah Perlindungan Wanita, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun.

Menurut Hamzah inisiatif berkenaan juga adalah sebagai usaha kerajaan membaiki kedudukan Malaysia yang berada di tahap tiga ketika ini dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara AS Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2022.

Mengulas isu yang sama beliau berkata, 73 penjawat awam disiasat dalam tempoh Januari hingga Julai lepas terhadap kesalahan berkaitan unsur jenayah pemerdagangan manusia dan 40 daripadanya melibatkan pegawai dari Jabatan Imigresen.

“Seramai enam orang (daripada 40 Pegawai Imigresen) telah dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, lima dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen manakala 27 lagi dikenakan tindakan tatatertib seperti digantung, dibuang kerja dan dua orang lagi telah meletakkan jawatan.

“Seramai 33 penjawat awam lain yang disiasat menyaksikan 13 telah dituduh di mahkamah, 16 telah dibebaskan dan baki empat individu lagi masih disiasat.

“Ini membuktikan kita beri tumpuan apabila ada laporan diterima daripada semua pihak,” katanya sambil menegaskan kerajaan tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan jenayah itu.

Sementara itu mengulas isu sembilan anggota polis yang disyaki terlibat peras ugut di Gombak yang dilaporkan akan ditukarkan ke Sabah dan Sarawak, Hamzah mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji semula perkara itu.

Semalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan berhubung pertukaran sembilan anggota PDRM itu akan dikaji semula oleh pucuk pimpinan PDRM.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1180
Kongsi :
Previous post Tetapkan tempoh tinggal etnik Rohingya di Malaysia – ADUN
Next post Nur Azmi Presiden MUSA baharu
Ubah saiz-+=