JAIM rampas tabung derma haram

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 2 Mac – Seolah-olah dilihat seperti menunggang agama, beberapa pertubuhan serta syarikat persendirian dikesan mengambil kesempatan menjalankan kutipan derma tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menjalankan operasi Tabung Tinggal (Ops Tanggal) bagi membanteras tindakan tidak bertanggungjawab tersebut.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata dalam operasi yang diketuainya itu pihaknya berjaya merampas hampir 30 tabung derma haram yang diletakkan di premis makanan sekitar Melaka.

“Mengikut pecahan pada Ops Tanggal yang dijalankan dalam tempoh dua bulan tahun ini, sebanyak 21 tabung dirampas dalam Daerah Melaka Tengah; empat di Daerah Alor Gajah dan tiga di Daerah Jasin.

“Kesemua rampasan dilakukan menerusi 14 operasi yang dijalankan bermula Januari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Tanggal di sebuah premis makanan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata pada tahun lalu, sebanyak 19 tabung derma dirampas menerusi 51 operasi yang dilakukan.

Che Sukri turut menasihatkan peniaga di negeri ini supaya mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada MAIM sekiranya ada pihak yang berhasrat untuk meletakkan tabung kutipan derma di premis perniagaan mereka.

“Premis-premis yang meletakkan tabung derma secara haram ini akan dikenakan denda sehingga RM 3,000 atau penjara enam bulan kepada dua tahun mengikut Seksyen 94 (4) dan (5) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002.

“Pada masa sama, orang ramai yang ingin menderma dinasihatkan supaya memastikan pemungut derma mempunyai kad kuasa pungutan khairat yang dikeluarkan MAIM, namun digalakkan untuk menderma terus ke institusi yang diiktiraf seperti masjid dan surau.

“Selain itu, pemantauan turut dilakukan terhadap institusi dan pertubuhan yang mendapat kebenaran menjalankan pungutan khairat bagi mengelakkan penyelewengan serta penyalahgunaan kebenaran diberikan kepada mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4134
Kongsi :
Previous post Klinik Kesihatan Pengkalan Balak dibuka secara rasmi
Next post Projek RTB Sungai Duyong, tangani masalah banjir DUN Ayer Molek
Ubah saiz-+=