Jajaran Dumai-Telok Gong ikon baharu dunia

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDAR MELAKA 8 September – Jajaran baharu yang akan menghubungkan Malaysia dan Sumatera melalui Dumai dan Telok Gong, Masjid Tanah bakal membawa limpahan ekonomi baharu kepada Melaka dan Republik itu.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jajaran sejauh 47 kilometer (km) itu bakal menjadi ikon baharu dunia kerana ia merupakan hubungan jalan terakhir dalam konsep ‘One Belt One Road’.

Katanya, menerusi kewujudan jajaran baharu merentasi sempadan dua negara yang akan dilaksanakan menerusi inisiatif swasta itu, ia diyakini akan menarik pelaburan baharu khususnya dalam sektor perindustrian.

Ia berikutan Melaka dijangka bakal membangunkan 2023.4 hektar kawasan perindustrian baharu, manakala Indonesia pula terkenal dengan hasil buminya, sekali gus memacu ekonomi kedua-dua negara.

“Pada dasarnya, Indonesia telahpun bersetuju untuk perkara ini diperincikan. Jadi langkah awal adalah kita membawa semua agensi Kerajaan Negeri melihat jajaran baharu di utara Negeri Melaka iaitu di Daerah Alor Gajah pada semalam (7 September).

“Menerusi lawatan itu, kita melihat kawasan-kawasan yang berpotensi dimajukan dan sekiranya impian menjadikan jalan penghubung di antara Malaysia dan Indonesia itu menjadi kenyataan Melaka sudah bersedia menyediakan prasarana dan kajian lebih awal supaya perancangan itu nanti berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran secara langsung di MelakaFM menerusi program ‘Apa Khabau YB’.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, antara kawasan yang berpotensi dibangunkan di sepanjang jajaran jalan darat Melaka ialah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang berkonsep baharu; kawasan penyuraian trafik dan perancangan untuk kawasan perindustrian.

Jelasnya, bagi kawasan perindustrian itu, beberapa segmen tertentu bakal diperkenalkan antaranya 404.7 hektar (1,000 ekar) pertama untuk pelabur semikonduktor, 404.7 hektar kedua untuk pembuat barangan elektronik dan yang ketiga membabitkan kawasan automotif termasuklah kereta elektrik yang bakal menjadi kenderaan masa depan.

“Selain itu, segmen itu juga akan membabitkan kawasan sektor pembuatan, kawasan riadah seperti kelab golf, hotel dan sebuah bandar baharu.

“Jadi semua ini sedang dilakar Melaka Corporation (MCorp) atau dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

“Selepas diberi mandat oleh rakyat, kita mahu memastikan dalam tempoh 10 tahun lagi, jajaran baharu ini akan memberi limpahan ekonomi terbaik buat Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5980
Kongsi :
Previous post Lebih banyak infrastruktur Rim akan ditambah baik
Next post Penting tangani isu jaminan halal dalam mempromosi industri halal – PM Ismail Sabri
Ubah saiz-+=