Sorting by

×

Jalan baharu Tebong-Hutan Percha bakal pendekkan masa perjalanan

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

MACHAP JAYA 4 April – Pengguna jalan raya dan penduduk sekitar Alor Gajah serta sempadan Negeri Sembilan dijangka boleh menggunakan jalan baharu Tebong-Hutan Percha, selepas Aidilfitri bulan depan.

EXCO Kerja Raya Negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, jalan luar bandar kategori R2 dengan lebar tiga meter selorong dan panjang 5 kilometer (km) itu kini telah siap, namun masih berada dalam tanggungan kecacatan.

Katanya, jalan berkenaan bakal memberi manfaat kepada penduduk sekitar dan orang ramai memandangkan ia mampu memendekkan kira-kira 70 peratus masa perjalanan sebaik dibuka secara rasmi.

“Kerja-kerja pembinaan jalan baharu ini telah bermula pada 22 Mac 2018 lalu dengan menelan kos lebih RM31 juta.

“Jalan baharu ini akan menjadi jalan pintas bagi penduduk dari Pekan Tebong yang hendak ke Hutan Percha yang mana masa perjalanannya dapat dependekkan daripada 30 minit menjadi 10 minit sahaja selepas jalan ini dibuka.

“Buat masa ini, kita jangkakan jalan ini akan dibuka selepas Hari Raya Aidilfitri, namun tarikh sebenar akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

RAHMAD ketika meninjau keadaan jalan baharu Tebong-Hutan Percha. (Foto: Rahmad Mariman)

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga EXCO Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Pengurusan Banjir Negeri berkata, pembukaan jalan baharu itu juga diyakini dapat menghidupkan sektor ekonomi di kawasan itu.

“Jalan ini mampu memberi kesan kepada sektor ekonomi perladangan di kawasan sekitar dan pada masa sama memberi kemudahan kepada perkampungan Orang Asli.

“Terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang merealisasikan jalan baharu ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3572
Kongsi :
Previous post MOTAC buka semula permohonan bantuan kewangan tahun 2022
Next post COVID-19: Kes baharu kekal bawah 15,000
Ubah saiz-+=