Sorting by

×

Jambatan sementara sambung urusan penduduk – KM

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KLEBANG 16 Oktober – Kerajaan Negeri akan membina jambatan sementara susulan kejadian jambatan lama berusia 25 tahun di Kampung Setulang Daeng yang runtuh pada 22 September lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, alternatif itu bakal memberikan kemudahan kepada ribuan penduduk sekitar Pulau Gadong dan Setulang Daeng, Bukit Rambai yang terjejas.

Ab Rauf berkata, jambatan sementara dirancang dibina di kawasan berhampiran dan akan diusahakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka dalam masa yang terdekat.

“Buat sementara waktu kita cuba dapatkan (bina) jambatan sementara yang akan diusahakan oleh pihak JKR untuk memudahkan penduduk di Klebang dan Pulau Gadong untuk ke bandar.

“Bagaimanapun kita akan bawa dalam mesyuarat dahulu bagi pembinaan jambatan ini, insya-Allah dalam masa terdekat kita akan bina jambatan ini,” ketika ditemui selepas mengadakan lawatan turun padang meninjau keadaan jambatan yang runtuh di Kampung Setulang Daeng, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Ir. Ts. Dr. Muhammad Khairudin Khalil; Pengarah JKR Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman dan wakil-wakil jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Menurut Ketua Menteri, Kerajaan Negeri juga akan mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi membina jambatan awam baharu di kawasan tersebut.

“Saya bersama pengarah JPS dan pengarah JKR negeri serta Adun kawasan datang ke sini untuk mencari jalan penyelesaian, bagaimana kita dapat memudahkan rakyat atau penduduk di sini.

“Dulu JPS bina jambatan ini atas kepentingan untuk menyelesaikan masalah banjir dan hakisan, ia bukan digunakan untuk kemudahan awam sepenuhnya kerana had jambatan ini hanya boleh menampung berat lima tan sahaja.

“Jambatan yang lama ini sudah berusia 25 tahun dan digunakan penduduk sebagai jalan harian untuk ke bandar, jadi kita faham apabila ia runtuh lebih 5,000 penduduk di sini mengalami kesulitan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1226
Kongsi :
Previous post Insentif RM2,000 tanda iktiraf khidmat penjawat awam – PM Anwar
Next post PSH pupuk kemahiran pelbagai peringkat usia
Ubah saiz-+=