Janda Kodiang ikut kekasih edar dadah di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

ALOR GAJAH 24 Julai – Polis memberkas seorang janda dan kekasihnya serta rakan mereka yang dikesan aktif menjalankan pengedaran dadah sekitar Lendu di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, serbuan dibuat sepasukan polis daripada JSJN, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka jam 11.30 malam tadi.

Menurutnya, hasil maklumat awam itu, polis menahan wanita berusia 34 tahun berasal dari Kodiang, Kedah itu bersama kekasihnya, 40 tahun dan seorang lagi rakan lelaki mereka berusia 37 tahun.

“Pemeriksaan di dalam rumah menjumpai 24 ketulan mampat plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 600 gram, 13 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki heroin seberat 17 gram.

“Turut dijumpai 14 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu dianggarkan berat 17 gram dengan anggaran keseluruhan dadah bernilai RM3,800,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, Superintenden Zulkiflee Rashid

Tambahnya, berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku menjalankan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu, heroin, ganja dan sekitar kawasan Lendu sejak sebulan lalu.

Jelas beliau, hasil ujian saringan air kencing kesemua suspek termasuk janda anak dua itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua suspek juga masing-masing dikesan mempunyai antara dua hingga tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Perintah reman dikenakan selama tujuh hari sehingga 30 Julai ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Zulkiflee berkata, pihaknya juga mengambil tindakan di ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 susulan penyitaan dua buah motosikal dan beberapa barang kemas dengan nilai sitaan keseluruhan RM8,906.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1317
Kongsi :
Previous post Olimpik: Semua pemain badminton berpeluang menang emas – Zii Jia
Next post Melaka negeri kelima catat kes tertinggi
Ubah saiz-+=