Jang Suk-Won ucap selamat tinggal

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

“TIGA tahun yang indah di Melaka United, ada naik dan turun tetapi bagi saya ia adalah sebahagian daripada kerjaya bolasepak saya.”

Demikian bait-bait kata perpisahan daripada tonggak pertahanan Kelab Bolasepak Melaka United (Melaka United FC), Jang Suk-Won yang tidak lagi bersama skuad Hang Tuah musim depan.

Selepas tiga tahun menyarung jersi hijau putih, pemain kelahiran Korea Selatan itu kini memilih mencari cabaran baharu bersama kelab lain.

Katanya, meskipun tidak lagi bersama Melaka United, namun kenangan indah bersama kelab yang dianggap seperti ‘rumah’ dan keluarganya sendiri akan kekal terpahat dalam ingatan.

“Saya gembira untuk mengharungi setiap perlawanan bersama keluarga saya.

“Saya percaya perjalanan saya di Melaka sudah pun berakhir dan tiba masanya untuk cabaran dan pengembaraan baharu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Jurulatih Zainal Abidin Hassan dan lain-lain yang meletakkan kepercayaan kepada saya. Dari lubuk hati saya, hanya Tuhan yang tahu betapa bersyukurnya saya untuk ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik Melaka United FC.

Dalam pada itu, Suk Won turut memohon maaf kepada pengurusan, pemain dan penyokong Melaka United kerana tidak dapat mengucapkan selamat tinggal secara sempurna.

Katanya, semua itu (meninggalkan pasukan) berlaku secara tiba-tiba yang mana dirinya tidak mempunyai platform media sosial untuk mengucapkan salam perpisahan kepada semua.

“Saya tidak mempunyai sebarang platform media sosial jadi saya tidak pasti bagaimana untuk menyatakan perpisahan dan rasa terima kasih saya.

“Sepanjang hidup saya, saya memberikan segalanya untuk bolasepak. Pada saya kadangkala saya rasa media sosial boleh mengganggu prestasi saya. Saya menjauhinya supaya ia tidak mengganggu prestasi saya di dalam dan di luar padang,” ujarnya.

Di akhir ucapan, Suk-Won turut menyatakan kesediaan untuk kembali semula ke Melaka sekiranya diberi peluang sekali lagi.

“Saya ingin menyatakan betapa bertuahnya saya selama 3 tahun ini. Tiada apa di dunia ini boleh mengubah perasaan ini.

“Jersi hijau dan logo ini akan sentiasa mendapat tempat istimewa di hati saya. Mungkin pada masa akan datang kita akan bertemu lagi dan saya gembira untuk kembali lagi ke Melaka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1609
Kongsi :
Previous post Malaysia hilang dua tonggak pertahanan berdepan Indonesia
Next post Isu teknologi 5G, penggunaan mata wang kripto antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Ubah saiz-+=