Jangan alpa dan terus amalkan SOP

Masa Membaca:3 Minit, 22 Saat
DAK MAT

 

BIARPUN kerajaan bersetuju Melaka beralih daripada Fasa 1 kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Sabtu lalu, bukan bermakna
negeri ini telah bebas daripada ancaman COVID19.

Sememangnya keputusan itu amat ditunggu-tunggu segenap lapisan rakyat Melaka setelah sekian lama ‘terkongkong’ akibat pelbagai SOP ditetapkan bagi menangani pandemik ini.

Tapi, rakyat kena faham bahawa ancaman virus ini masih wujud dan individu yang telah divaksin satu dos mahupun telah lengkap dua dos di Melaka tetap berisiko dijangkiti virus pembunuh ini.

Mat setuju sangat dengan peringatan ‘Tok Leman’, jangan pula rakyat lupa dan mengabaikan segala SOP dalam keseronokan beralih Fasa 2 PPN.

Akibatnya amat buruk dan kita juga harus sedar bahawa masih ada yang belum divaksin di Melaka termasuk golongan berusia 17 tahun ke bawah.

Kewujudan pelbagai varian COVID-19 kini semakin membimbangkan dan ia menuntut perhatian oleh semua pihak khususnya ibu bapa mengenai keselamatan diri dan anak-anak ini.

Peralihan Fasa PPN di Melaka menjadi tumpuan kerana biarpun negeri kecil, ia kekal merekodkan kes jangkitan COVID-19 tiga angka sejak dua bulan lalu.

Justeru, Mat berharap penduduk Melaka tetap mengamalkan SOP yang ketat pada setiap masa walaupun sudah beralih Fasa PPN.

Terus amalkan norma baharu dan berusaha mengurangkan pergerakan dengan sewajarnya untuk perkara yang perlu sahaja.

Ini kerana Fasa 2 bukan ‘tiket’ untuk lebih banyak kelonggaran diberikan.

Dak Mat : #Kitajagakita

 

MUHAMMAD ZIYAD.

 

Bertabahlah Ziyad

INSIDEN penarikan balik pingat emas atlet paralimpik kita, Muhammad Ziyad Zolkefli tempoh hari atas sebab teknikal, memang menyedihkan.

Tatkala anak Malaysia itu menggegarkan arena sukan Paralimpik Tokyo 2020 dengan mencatat rekod baru dunia 17.94 meter acara lontar peluru, kemenangannya ‘dinafikan’.

Sekali gus ia meranapkan impian Malaysia menambah pingat atau setidaknya mempertahankan pingat emas acara sama dimenangi Ziyad di temasya Paralimpik Rio, Brazil 2016.

Mat tidak mahu ulas panjang tapi cukup terkesan dengan kenyataan Datuk Seri Zolkples Embong.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara itu berpendapat kontinjen negara dan rakyat Malaysia tidak wajar menyalahkan pasukan Ukraine kerana mereka ada hak buat bantahan atas kecuaian di pihak kita.

Kita tidak tahu apa sebenar berlaku kerana tidak berada di sana, namun boleh mengambil iktibar pengalaman Zolkples ketika mengetuai kontinjen ke Sukan Asia 2010 dan Sukan Paralimpik London 2012.

Bagi mengelak masalah, beliau mengarahkan pegawai pengiring untuk memastikan setiap atlet berada di venue pertandingan dua jam awal sebelum acara bermula.

Bagi Mat ia pengajaran paling berguna kepada setiap pegawai kontinjen negara supaya tidak mengulangi kesilapan sama pada masa hadapan.

Ini bukan pertandingan peringkat sekolah atau SUKMA, tapi temasya tertinggi dunia iaitu Paralimpik dan menuntut komitmen 100 peratus daripada semua pihak terbabit.

Dak Mat : Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan pembentukan Kabinet.

 

Kabinet ‘jalan terus’

PERALIHAN tampuk pentadbiran negara sebanyak dua kali dalam tempoh sepenggal sudah menjadi sejarah.

Biarpun sukar untuk dicerna oleh minda, tapi itulah realiti yang perlu dihadam oleh kita semua.

Tumpuan rakyat Malaysia kini kepada jemaah Kabinet baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri (PM) baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menjalankan fungsinya.

Yang pasti, bilangan 31 menteri dan 38 timbalan menteri dalam kerajaan kini dikekalkan sama seperti pada pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sama ada pelantikan jemaah menteri terbabit dipertikai atau disokong, ia soal lain.

Bagi Mat, kombinasi muka baharu dan yang berpengalaman dalam Kabinet ini mampu mencapai hasrat PM khususnya membantu negara memulihkan ekonomi dan mengembalikan kesejahteraan rakyat.

Tiga prinsip digariskan untuk jemaah Kabinet iaitu peka dengan keperluan semasa; bertanggungjawab dan beramanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat harus ‘dihadam’ sebaiknya oleh mereka.

Mat harap, menteri dan timbalan menteri ini akan benar-benar mendengar teguran dan cadangan oleh ramai pihak termasuk pihak pembangkang demi kepentingan bersama.

Pendek kata, mereka juga wajib jadi ‘pakar’ dalam portfolio sendiri agar tidak dipertikai kewibawaan apabila tersilap mengeluarkan kenyataan ataupun memperkenalkan polisi ‘pelik’ dan ‘mengarut’.

Dak Mat : Selamat bertugas ‘YB’!

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

527
Kongsi :
Previous post Abdul Latif terus jalani pemulihan, tangguh balik kampung
Next post Hampir 69 peratus populasi dewasa Malaysia lengkap vaksinasi setakat semalam – JKJAV
Ubah saiz-+=