Jangan sampai salah guna trend minta bantuan

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Trend kibar ‘bendera putih’ tidak dinafikan antara alternatif terbaik bagi segelintir masyarakat dalam kesusahan dan benar-benar terdesak untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, ia dikhuatiri boleh menggalakkan sikap tidak bertanggungjawab individu yang menggunakannya demi kepentingan sendiri, sekali gus merencatkan usaha menyalurkan bantuan kepada golongan benar-benar memerlukan.

Pengasas program #KongsiRezeki di Taman Asean II, Shikh Muhammad Makhdad Harun, 48, mengakui sejak melaksanakan inisiatif itu wujud segelintir individu bersikap tamak dan sanggup menyalahgunakan bantuan diberikan.

Beliau berkata, sekiranya pendekatan ‘bendera putih’ disalah guna, ia boleh menggalakkan agenda tidak baik dan membuatkan lebih ramai mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain dan tidak berusaha untuk membantu keluarga.

“Kita takut jika ia disalah guna, contohnya ada yang sudah menerima banyak bantuan, tetapi masih lagi meminta-minta bantuan lain seperti membantu mereka untuk bayar bil, sewa rumah dan sebagainya.

“Masyarakat yang prihatin ini biasanya membantu semampu boleh, tetapi janganlah sampai meminta sesuatu di luar kemampuan mereka. Itu satu tidak baik.

“Kalau boleh, biarlah yang benar-benar terdesak menggunakan pendekatan itu (bendera putih). Lagi baik jika mereka yang dalam kesusahan terus berhubung dengan mana-mana agensi kerajaan atau orang perseorangan untuk mendapatkan bantuan diperlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

FIRDA Ayu aktif memberikan bantuan kit makanan kepada pelajar IPT yang terkesan COVID-19.

Pengerusi Pertubuhan Nadi Rakyat Melaka, Firda Ayu Mohd Zubir turut senada dan berharap trend berkenaan tidak digunakan untuk mendapat bantuan berlebihan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Hang Tuah Jaya bagaimanapun berkata, setakat ini dia belum berjumpa individu cuba mengambil kesempatan.

“Apapun kita perlu membantu sedaya mampu, cuma diharapkan mereka yang terkesan tidaklah mengharapkan bantuan berlebihan.

“Alhamdulillah, setakat ini yang kita bantu semuanya benar-benar susah dan tidak pernah jumpa jenis yang mengambil kesempatan.

“Disamping itu, kita juga cuba menyelami setiap permasalahan dan jika ia di luar bidang kuasa, kita bantu sedaya yang boleh dengan menyalurkannya kepada agensi kerajaan atau pejabat Ketua Menteri sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post ‘Ini bukanlah satu keistimewaan’ – Ismail Sabri
Next post ‘Fikir orang lain bila ambil bantuan’
Ubah saiz-+=