Janji Tuminah kotakan janji untuk rakyat Pantai Kundor

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PANTAI KUNDOR 20 Nov – “Saya berjanji menunaikan segala janji saya kepada pengundi dan anggota komuniti di Pantai Kundor,” kata calon Barisan Nasional (BN) yang menang di Pantai Kundor malam ini, Tuminah Kadi .

Beliau berkata, kemenangannya bakal disusuli dengan usaha untuk membantu memajukan ekonomi Pantai Kundor terutama dari aspek pembangunan perindustrian perkilangan.

“Alhamdulillah segala usaha saya dan jentera BN untuk meyakinkan pengundi mengenai kemampuan BN untuk menjamin kelangsungan kemajuan diterima dengan baik oleh pengundi.

“Insya-Allah saya akan membalas kepercayaan pengundi dengan mengotakan janji untuk meingkatkan kemajuan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pengumuman kemenangannya di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Gelam, Tanjung Kling di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Tuminah, 55, berkata keputusan itu menbuktikan BN masih diberikan keyakinan oleh rakyat untuk mentadbir Melaka bagi menghadapi cabaran pada masa depan.

Katanya, pandemik COVID-19 yang masih membelenggu kehidupan rakyat harus terus ditangani dengan penjagaan prosedur operasi standard (SOP) tetapi dalam masa yang sama aktiviti ekonomi harus terus berjalan.

Beliau menegaskan, walaupun ada pihak tertentu menjangka BN akan tewas berikutan peratusan orang ramai keluar mengundi yang agak rendah, keadaan sebenar tetap berpihak kepada BN.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab walaupun terpaksa berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang masih belum tamat sepenuhnya.

Tuminah memperoleh 3,960 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Ridzwan Mustafa meraih 3,133 undi dan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Nor Azman Hassan memperoleh 2,799 undi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

620
Kongsi :
Previous post Razak janji tunai 10 janji
Next post Mekanik maut dihempap kereta dibaikinya
Ubah saiz-+=