Japen Melaka perluas peranan IOW kepada komuniti

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

MELAKA 28 April. – Jabatan Penerangan (Japen) Melaka memperluaskan peranan program hebahan bergerak ‘Info On Wheels’ (IOW) bagi menyampaikan maklumat dan informasi kepada komuniti setempat dengan membuka kaunter pendaftaran bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Pengarahnya Rizal Hashim berkata jumlah pendaftaran vaksinasi dalam program IOW daripada orang ramai adalah menggalakkan terutamanya dalam kalangan warga emas dan penduduk luar bandar.

“Sejak 1 April hingga semalam, seramai 485 orang telah mendaftar di kaunter bergerak yang dibuka ketika program melibatkan JAPEN dan ini adalah suatu respons dan maklum balas yang memberangsangkan diterima daripada masyarakat.

“Usaha ini juga bagi memastikan mesej dan dasar kerajaan Persekutuan dapat disampaikan sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Kit@JAPEN di Stesen Petronas Lebuh AMJ Semabok di sini hari ini.

Rizal berkata menerusi inisiatif itu, JAPEN turut melebarkan aktiviti IOW Kit Informasi Terkini@Japen (Kit@JAPEN) bagi memastikan masyarakat mendapat bahan rasmi kerajaan.

Beliau berkata ia dengan menjadikan kedai serbaneka terpilih sebagai pusat hentian Program IOW dan hab mini bagi menempatkan bahan penerbitan rasmi.

“Program ini melibatkan 10 stesen minyak Petronas terpilih di Melaka dan ia sebagai usaha memasarkan maklumat secara meluas kepada komuniti untuk mereka mendapatkan risalah peringatan penting terutama berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan pengamalan norma baharu.

“Langkah ini diambil bagi menyampaikan mesej rasmi sekali gus menangani penularan berita palsu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

752
Kongsi :
Previous post Aktivis diperintah bayar RM150,000 kepada Mufti Perlis
Next post Tun Mohd Ali santuni warga UTeM
Ubah saiz-+=