
JAS LAKSANA PEMERIKSAAN MENYELURUH TERHADAP KILANG PENGUMPULAN SISA ELEKTRONIK
PAYA RUMPUT 3 Februari – Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melaksanakan pemeriksaan menyeluruh terhadap Kilang pengumpulan sisa elektronik dan bateri kenderaan elektrik (EV) yang musnah dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, semalam.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata pihaknya telah mengarahkan JAS untuk menyemak lesen operasi kilang.
Katanya, selain itu JAS juga akan laksanakan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan dan peraturan demi kesejahteraan rakyat.
“Kebakaran ini mendapat tindakan segera lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu BBP Tangga Batu, Melaka Tengah, BPP Ayer Keroh dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) HAZMAT dari BPP Alor Gajah dan BPP Cheng. Turut membantu adalah pegawai dan anggota dari Balai Polis Tanjung Minyak dan Balai Polis Batang Tiga.
“Pastinya kerjasama erat antara agensi-agensi ini meminimakan risiko bahaya. Syukur, tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun hasil keputusan pemeriksaan penuh akan dikenal pasti segera,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya.
Semalam, media melaporkan Sebuah kilang pengumpulan sisa elektronik dan EV di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai musnah dalam kebakaran.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan kebakaran kira-kira 12.50 tengah hari yang melibatkan premis separuh kekal itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.