JBPM keluarkan 40 kompaun kesalahan ganggu pili bomba
BUKIT KATIL 1 Mar – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengeluarkan sebanyak 40 kompaun terhadap individu yang didapati menghalang atau mengganggu kedudukan pili bomba sepanjang tahun lalu.
Pengarah JBPM Melaka Abu Bakar Katain berkata, daripada pemantauan dilakukan pihaknya didapati terdapat segelintir individu yang bersikap ambil mudah apabila ada yang menjadikan kawasan pili bomba tempat letak kereta dan meletakkan pokok bunga.
“Kita dapati banyak pili bomba kita ini diganggu dan berada dalam keadaan terlindung oleh segelintir masyarat sedangkan ia perlu berada dalam keadaan dijaga dan siap siaga selain boleh digunakan pada bila-bila masa.
“Hasil pemerhatian kita, antara kawasan yang sering dikesan berlakunya halangan terhadap pili bomba ini adalah dikawasan bandar dan juga sekitar Ayer Keroh.
“Oleh itu pada tahun lalu kita telah keluarkan 40 kompauan atas kesalahan mengganggu pili bomba mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988, termasuk 10 daripadanya dihadapnya ke mahkamah kerana apabila mereka tidak menjelaskan kompaun dikenakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka 2023, di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil, hari ini.
Menurut beliau, bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarkat akan pentingnya keberadaan pili bomba, seramai 1,300 Teman Pili Bomba dalam kalangan komuniti masyarakat di seluruh Melaka dilantik bagi menjaga serta menyelia pili bomba.
“Usaha untuk mendidik masyarakat ini perlu dipertingkatkan lagi oleh itu sehingga kini kita sudah melantik 1,300 Teman Pili Bomba untuk membantu menjaga alatan itu termasuk memberi advokasi kepada penduduk setempat. Secara keseluruhan di Melaka kita mempunyai 17,000 pili bomba.
“Selain itu juga kita mengalu-alukan masyarakat yang berhampiran kediamaan atau premis mereka mempunyai pili bomba untuk sertai kami dan menjadi Teman Pili Bomba. Mereka ini nanti kita akan daftarkan serta memberi latihan,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu pihak bomba menerima dua buah bot yang disumbangkan oleh Pejabat Daerah Jasin dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi mempertingkatkan operasi mencari dan menyelamat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.