Bomba Melaka siap sedia hadapi banjir

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 1 Mar – Seramai 500 anggota termasuk pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam keadaan kesiapsiagaan untuk ditugaskan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir di negeri ini.

Pengarah JBPM Melaka Abu Bakar Katain berkata, pada waktu ini pihaknya sudah mengarahkan semua pegawai dan balai bomba dan penyelamat (BBP) bagi membuat persediaan susulan amaran hujan berterusan (bahaya) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Kita arahkan semua pegawai dan anggota begitu juga BBP membuat persediaan baik dari segi logistik dan juga sumber manusia. Saya sudah meminta pegawai untuk membuat rondaan di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir.

“Di Melaka ini sebanyak 124 kawasan yang dianggap lokasi berisiko banjir. Untuk waktu ini boleh katakan kita dalam ‘alert mode’. Apabila disebut tentang kesiapsagaan, kita anggap semua sekali berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa.

“Walaupun begitu, setakat ini kita masih belum membuat pembekuan cuti kerana keadaan masih terkawal tetapi sekiranya perlu mungkin perancangan cuti itu akan diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka 2023, di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, hari ini.

Abu Bakar berkata, selain pemantauan di kawasan risiko banjir pihaknya juga turut menjalankan pemantauan di 179 kawasan cerun yang dianggap berisiko berlaku runtuhan susulan cuaca buruk.

“Senarai ini kita peroleh daripada Unit Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan daripada 179 itu dua daripadanya iaitu di Tebong dan Ayer Keroh dikelaskan berada dalam keadaan kritikal dan mungkin berlaku runtuhan sekiranya hujan lebat berterusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1551
Kongsi :
Previous post JBPM keluarkan 40 kompaun kesalahan ganggu pili bomba
Next post TDM tetapkan tiga fokus utama mantapkan ketumbukan TDM – Zamrose
Ubah saiz-+=