Sorting by

×

TDM tetapkan tiga fokus utama mantapkan ketumbukan TDM – Zamrose

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) menetapkan tiga fokus utama bagi memantapkan ketumbukan TDM agar pasukan keselamatan negara ini terus melakar kecemerlangan.

Tiga fokus utama berkenaan adalah menjaga kebajikan anggota, membantu kerajaan dan rakyat serta pengukuhan organisasi TDM.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata agenda berkenaan adalah untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga TDM agar warganya mampu kekal memberi sepenuh tumpuan terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Beliau berkata TDM juga akan terus mengukuhkan komitmen untuk membantu kerajaan dan rakyat melalui pendekatan Kerjasama Awam-Tentera dengan melengkapkan pasukan dalam aspek keanggotaan dan aset yang bersesuaian untuk menghadapi bencana, membuat perancangan awal atur gerak dan mengukuhkan hubungan dengan kerajaan pusat, negeri dan agensi kerajaan lain.

“Selain itu, kesiapsiagaan dan pengukuhan organisasi tentera darat juga akan diberi perhatian agar cabang perkhidmatan ini terus membangun dan meningkatkan keupayaannya sejajar dengan perubahan persekitaran semasa khususnya perkembangan teknologi dan siber,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa berucap pada sambutan Hari Tentera Darat yang ke-90 di Dataran Panglima Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Mengekalkan tema sambutan tahun lepas iaitu ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’, perbarisan pada sambutan kali ini mengetengahkan istiadat perbarisan penuh rejimental dan tradisi ketenteraan melibatkan kesemua 16 kor dan rejimen dalam TDM.

Acara dimulakan sejurus ketibaan Zamrose pada 9.30 pagi tadi dengan lintasan hormat oleh lima pesawat yang terdiri daripada tiga pesawat A109 LOH dan dua pesawat MD 530G.

Nyanyian lagu keramat ‘Gagah Setia’ oleh anggota perbarisan bergema di segenap dataran sebelum Zamrose memeriksa perbarisan yang disertai 58 pegawai dan 1,426 anggota Lain-Lain Pangkat yang diketuai Pegawai Pemerintah Batalion ke-12 RAMD (Mekanize) Lt Kol Mohd Azamri Abdullah.

Istiadat perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat turut mengarak tujuh panji iaitu panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Rejimen Semboyan Diraja, Rejimen Askar Jurutera Diraja, Rejimen Artileri Diraja dan Kor Perkhidmatan Diraja.

Zamrose kemudiannya menyampaikan beberapa anugerah iaitu Anugerah Kesiapsiagaan Panglima Angkatan Tentera, Anugerah Pengurusan Inovasi Tentera Darat, Penganugerahan Pisau Tentera Darat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Kedaulatan Negara.

Hari Tentera Darat disambut pada setiap tahun sebagai acara tradisi bertujuan untuk mengukuhkan kesatuan warga tentera darat serta mengeratkan hubungan dengan masyarakat.

Turut hadir Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad, Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1652
Kongsi :
Previous post Bomba Melaka siap sedia hadapi banjir
Next post Program uKasih ‘gerbang’ miskin tegar jadi usahawan
Ubah saiz-+=