Jelajah Merdeka bawa mesej cintakan alam sekitar

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 19 Ogos – Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mengambil inisiatif mengadakan Jelajah Merdeka 2022.

Program julung kali itu akan diadakan selama tiga hari iaitu pada 18 dan 23 Ogos serta 3 September di tujuh lokasi terpilih seluruh negeri ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, siri Jelajah Merdeka itu diadakan bertujuan menyuburkan nilai patriotisme dan semangat kemerdekaan di samping memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Selain itu, inisiatif berkenaan juga akan membawa mesej kesedaran mengenai penjagaan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar sebagai sebahagian elemen bagi menzahirkan rasa kecintaan kepada negara.

Menurutnya lagi, program seperti itu amat penting memandangkan seluruh rakyat kini memikul amanah besar untuk mewariskan negara ini kepada generasi akan datang dalam keadaan baik dan bersih tanpa pencemaran.

“Sempena Hari Kebangsaan ke-65 tahun ini, marilah kita menerapkan semangat tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ dengan menjadikan amalan menjaga kebersihan dan memelihara alam sekitar sebagai salah satu tanggungjawab bersama kepada negara.

“Selepas enam dekad Malaysia mengecap nikmat kemerdekaan, sudah tiba masanya kita membentuk minda kelas pertama dengan mengamalkan pengurusan sisa pepejal secara berhemah, mengamalkan pengasingan sisa di punca dan menjadikan aktiviti 3R sebagai budaya baru dalam kehidupan seharian.

“Setiap masyarakat perlu bersama-sama memerdekakan diri daripada terus ‘dijajah’ oleh sikap tidak peduli terhadap kebersihan seperti tabiat buruk membuang sampah merata-rata,” katanya selepas merasmikan SIRI Jelajah Merdeka 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah, di sini, semalam.

WhatsApp Image 2022-08-18 at 5.41.05 PM
SIRI Jelajah Merdeka 2022 yang pertama diadakan di SMK Munshi Abdullah.

Beliau berkata, tujuh lokasi yang terpilih bagi siri jelajah itu membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Universiti Melaka (Unimel), Menara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ayer Keroh, pejabat Melaka Hari Ini (MHI), Farmasi Remedi Jasin, Taman Bukit Larang Indah dan kawasan pelancongan di sekitar Banda Hilir.

Antara pengisian yang telah dirangka ialah ceramah kemerdekaan, taklimat kesedaran alam sekitar, pelantikan pasukan 3R Rangers, kutipan barangan kitar semula, pendaftaran ahli KITARecycle, penyerahan plak Rakan Aktif KITARecycle, sesi plogging serta edaran Jalur Gemilang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1307
Kongsi :
Previous post Mahasiswa jadi ejen perpaduan
Next post Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan selamat lahirkan pelajar berdisplin, berintegriti tinggi
Ubah saiz-+=