Mahasiswa jadi ejen perpaduan

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KLEBANG 19 Ogos – Mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta, dialu-alukan untuk menyertai Sekretariat Rukun Negara (SRN) dalam usaha mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Pengarah Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri, Intan Suhana Yusuff berkata, menerusi SRN mahasiswa didedahkan dengan pelbagai program berunsurkan perpaduan, sekali gus menggamit keutuhan antara kaum terutama ketika bulan kemerdekaan.

“Menerusi jabatan ini kita mempunyai Kelab Rukun Negara, Kawasan Rukun Tetangga, Tabika dan pelbagai lagi. Semua ini adalah jentera perpaduan bertanggungjawab memperkasakan lagi perpaduan menerusi program yang kita rencanakan.

“SRN juga jentera perpaduan kita dengan mahasiswa menjadi ejen penting dalam memupuk perpaduan kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Penutup Minggu Suai Kenal dan Perasmian Bulan Kebangsaan Politeknik Melaka (PMK) di Japerun Klebang, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah PMK, Razali Johari; Timbalan Pengarah PMK, Normala Salimin serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, pihaknya berharap semua IPT di Melaka memberikan kerjasama dalam mendukung hasrat itu, sekali gus mengharumkan nama institusi masing-masing.

“Penyertaan ini tidaklah wajib, tapi kita galakkan semua IPT untuk aktif bersama SRN, kerana jentera perpaduan yang ada ini jika tiada jiwa kemerdekaan dalam diri bagaimana pula mereka mahu tunjuk contoh kepada generasi akan datang.

“Mahasiswa inilah yang mainkan peranan penting dan menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk suburkan mereka dengan program-program berunsurkan perpaduan agar mampu menunjukkan kecintaan kepada negeri dan negara,” ujarnya.

Terdahulu menerusi program dianjurkan, seramai 153 pelajar baharu semester satu PMK diraikan, selain disuntik dengan semangat kemerdekaan.

Sepanjang program suai kenal yang berlangsung di PMK kesemua pelajar baharu turut didedahkan dengan pelbagai pertandingan bertemakan bulan kemerdekaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1581
Kongsi :
Previous post Lelaki melecur di tangan, lima penghuni lain selamat
Next post Jelajah Merdeka bawa mesej cintakan alam sekitar
Ubah saiz-+=