JKDM Melaka tumpaskan kegiatan seludup daging beku

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

MELAKA, 5 April – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan sejumlah 23,080 kilogram daging beku melibatkan nilai termasuk duti cukai kira-kira RM461,600.

Pengarah Kastam Melaka Nadzri Che Ani dalam kenyataan hari ini berkata rampasan itu membabitkan satu lori treler membawa kotak berisi daging beku menggunakan kenderaan kargo biasa bagi mengaburi pihak kastam.

“Lori itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka pada 27 Feb lepas lebih kurang 4.30 petang di stesen minyak kawasan Ayer Hitam daerah Kluang, Johor.

“Hasil pemeriksaan mendapati daging beku itu berasal dari Bolivia dan negara itu tidak disenaraikan sebagai negara pengeksport daging beku ke Malaysia oleh Jabatan Veterinar,” katanya.

Mengulas lanjut Nadzri berkata kotak berisi daging berkenaan tidak dibawa menggunakan lori yang menawarkan perkhidmatan peti sejuk beku.

“Pemandu berusia 40-an itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengimportan berkaitan daging beku yang dibawa, dia bersama barang kes dan lori treler itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Daging beku diklasifikasi sebagai dagangan larangan di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga/Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

422
Kongsi :
Previous post Satu lagi kematian akibat strok haba, libat kanak-kanak tiga tahun – NADMA
Next post Rumah Mesra Rakyat tidak boleh disewakan
Ubah saiz-+=