Rumah Mesra Rakyat tidak boleh disewakan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

ASAHAN 5 April – Pemilik Rumah Mesra Rakyat (RMR) Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) diingatkan supaya tidak menyewakan kediaman masing-masing kepada pihak lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, mereka terpilih sebagai penerima RMR menerusi inisiatif itu amat bertuah kerana bakal menikmati pelbagai keistimewaan.

“Alhamdulillah kali ini bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, ada empat lagi permohonan RMR yang diluluskan dan kita serahkan surat tawaran kepada pemohon berkenaan.

“Kita berkempen untuk masyarakat DUN Asahan yang ingin memiliki rumah dan layak mengikut syarat-syarat SPNB. Saya minta semua pemohon RMR yang lulus permohonan dan telah dibina rumahnya agar tidak salah guna rumah ini, saya lihat di media sosial ada sahaja pihak-pihak yang mengiklankan rumah ini untuk disewa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyerahkan Surat Tawaran RMR DUN Asahan Kepada Penerima di Kompleks Japerun Asahan di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah SPNB Melaka & Johor, Khairul Azhar Abdullah.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata rumah berkenaan dibina dengan harga serendah RM55,000 selepas mendapat subsidi kerajaan sebanyak RM20,000.

“Kalau kita mampu miliki rumah lain, berilah kuota RMR ini kepada yang lebih memerlukan, ini kerana pembinaan setiap rumah ini mendapat subsidi kerajaan sebanyak RM20,000.

“Penerima perlu membayar rumah RM300 sebulan dengan tempoh pinjaman selama 16 tahun, keluasan rumah ini adalah 750 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik tidur serta dua bilik air,” katanya.

Untuk rekod Melaka mempunyai sebanyak 7,200 permohonan RMR setakat ini dan daripada jumlah itu sebanyak 3,500 RMR telah siap dibina.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

136
Kongsi :
Previous post JKDM Melaka tumpaskan kegiatan seludup daging beku
Next post ‘Alhamdulillah tak perlu lagi sewa rumah’
Ubah saiz-+=