JKM Melaka fokus program keusahawanan bantu penerima bantuan berdikari

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

JASIN, 17 Nov – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka memberi fokus kepada usaha membimbing penerima bantuan menerusi program keusahawanan bagi memperkasa mereka ke arah hidup berdikari dan tidak lagi perlu bergantung kepada bantuan.

Pengarah JKM Melaka Zulkifli Hanifah berkata ia termasuk menjalin kerjasama dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan Petronas menerusi rangkaian kedai serbaneka Mesra di negeri ini bagi menempatkan produk keluaran usahawan klien JKM.

“Hingga kini terdapat 23 usahawan terlibat dalam program itu yang menyediakan platform kepada mereka menjual dan mempromosi produk dihasilkan terutamanya makanan.

“JKM juga akan memberi latihan yang bersesuaian sebelum mereka menceburi bidang keusahawanan bagi memastikan mereka mempunyai ilmu dan kemahiran agar dapat meningkatkan pendapatan seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir pada Program Ziarah Kasih bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis di rumah klien JKM, Zainalabidin Ibrahim, 61, di Kampung Parit Penghulu Benteng.

Pada program tersebut JKM turut meluluskan bantuan bulanan RM500 dan katil khas kepada Zainalabidin yang terlantar akibat sakit gout tahap empat, selain menerima bantuan bulanan lampin pakai buang daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata setakat ini JKM menyalurkan bantuan bulanan kepada seramai 26,699 penerima melibatkan pelbagai kategori seperti Bantuan Kanak-Kanak, Elaun Pekerja Cacat, Bantuan Penjagaan Orang Kelainan Upaya Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar dan Bantuan Orang Tua.

Menurutnya secara purata setiap bulan pihaknya menerima 200 hingga 500 permohonan yang akan diproses dan dinilai dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

665
Kongsi :
Previous post Duyong mencari sukarelawan
Next post Pusat pengumpulan pertanian, perikanan dan PKS di Sungai Rambai
Ubah saiz-+=