JKM perlu nilai laporan pihak berkuasa sebelum tempatkan tiga beradik didera – Nancy

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUCHING, 26 Mac – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menilai laporan siasatan polis serta hospital berhubung kes tiga beradik lelaki yang dipercayai didera di Kangar, Perlis sebelum memuktamadkan tindakan selanjutnya bagi menempatkan mangsa, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata maklumat yang diterimanya setakat tengah hari tadi menyatakan, kesemua mangsa masih mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada polis mengenai kes terbabit.

“Apa-apa keputusan daripada laporan polis dan hospital, akan menentukan sama ada mangsa perlu ditempatkan di rumah perlindungan atau tidak, kerana dalam kes ini mereka masih ada ibu,” katanya selepas Program Kasih Ramadan YKN di sini hari ini.

Nancy berkata pegawai JKM di kawasan itu telah mengambil langkah segera dengan membawa ketiga-tiga mangsa ke hospital untuk menerima rawatan.

Semalam, media melaporkan tiga beradik lelaki itu ditemukan penduduk kampung dalam keadaan lemah dengan dua daripada mereka kaki masih berantai di tepi sebuah titi, di Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata mangsa berusia 13 hingga 16 tahun, dengan dua daripada remaja tersebut merupakan orang kurang upaya (OKU) yang memiliki kad OKU masalah pendengaran dan pembelajaran.

Susulan itu, polis telah menahan seorang wanita berusia 46 tahun dipercayai ibu mangsa dan seorang lelaki berusia 31 tahun bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Nancy yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara menyerahkan sumbangan berupa pakaian sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, kepada 180 penerima golongan asnaf daripada 40 sekolah di Parlimen Santubong.

Program tanggungjawab sosial korporat berkenaan ialah kerjasama bersama Alliance Islamic Bank, melibatkan tajaan sumbangan pakaian perayaan berjumlah RM27,000.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3921
Kongsi :
Previous post Masalah longkang tersumbat, bau busuk selesai
Next post Senyuman Siti Norsofia ‘pelaris’ martabak di bazar Ramadan
Ubah saiz-+=