JKM sita taska babit bayi lelaki tidak sedarkan diri
PENGKALAN BATU 2 November – Semakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap sebuah pusat jagaan taska di Taman Pertam Jaya, Semabok membabitkan kejadian seorang bayi lelaki berusia 12 bulan tidak sedarkan diri kelmarin tidak berdaftar.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata hasil semakan juga mendapati taska berkenaan berpindah ke lokasi baharu Ogos lalu dan masih belum berdaftar.
“Susulan itu tindakan sita ke atas premis terbabit dibuat oleh JKM hari ini (semalam) dan ia tidak lagi boleh beroperasi sehingga membuat permohonan baharu serta berdaftar,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, justeru itu, pihaknya juga menyeru kepada ibu bapa khususnya golongan muda agar membuat semakan terlebih dahulu keatas taska yang ingin mereka menghantar anak.
“Saya menyeru untuk mereka ini semak betul-betul dan kalau dapati ada yang dikesan tidak berdaftar bolehlah laporkan kepada JKM ia adalah bagi kebaikan semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyerahan Zakat TM Melaka yang turut dihadiri Pengurus Besar TM Melaka Datuk Rozlan Mohamed, di Kompleks Japerun Pengkalan Batu.
Sebelum ini, media melaporkan bayi berkenaan tidak sedarkan diri ketika berada dalam jagaan pusat jagaan terbabit, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata kejadian berkenaan dimaklumkan pemilik taska terbabit kepada bapa bayi itu menerusi mesej pesanan suara WhatsApp kira-kira 9.30 pagi sebelum bayi berkenaan dibawa ke Hospital Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.