Program kompetensi JKR lahirkan pegawai berkepakaran tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

ALOR GAJAH 3 November – Program Pensijilan Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) bukan sahaja mampu melahirkan pegawai berkepakaran tinggi malah mendidik kakitangannya untuk mengadaptasi gerak kerja dengan teknologi baharu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan program itu mula dilaksanakan bermula tahun 2016 yang bertumpu kepada bidang kompetensi disiplin awam.

Katanya, setahun kemudian JKR mengambil inisiatif baharu dengan memperluaskan program itu kepada empat disiplin tambahan iaitu kejuruteraan mekanikal, elektrik, arkitek dan ukur bahan.

“Bagi tahun ini, bilangan disiplin diperkukuhkan menjadi enam disiplin merangkumi kompetensi pengurusan aset, kompetensi pengangkutan darat dan kompetensi kelestarian alam sekitar.

“Keseluruhannya, JKR telah berjaya melahirkan seramai 2,513 orang pegawai berkepakaran tinggi dalam bidang masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Sijil Komptensi Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) JKR, di sini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Hasnol Zam-Zam Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) JKR, Datuk Zahrul Hakim Abdullah dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool.

Alexander berkata, Program Pensijilan Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) diharap akan terus memperkukuhkan reputasi jabatan terbabit sebagai agensi teknikal kerajaan yang unggul dan terulung.

“Saya berharap jumlah itu tidak hanya tinggal sekadar angka, sebaliknya bergerak ke hadapan dengan beradaptasi dengan teknologi bagi mengoptimumkan pencapaian perancangan strategik JKR sekali gus memanfaatkan rakyat dan negara.

“Semua pegawai JKR digalakkan untuk berani mencuba perkara baru terutamanya yang melibatkan teknologi dan inovasi baru bagi membawa perubahan cara kerja dan hasil yang lebih efisien,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

870
Kongsi :
Previous post JKM sita taska babit bayi lelaki tidak sedarkan diri
Next post 40 asnaf Pengkalan Batu terima zakat
Ubah saiz-+=