JKR aktifkan pusat kawalan operasi bencana negeri Johor hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Tindakan segera telah dan sedang diambil oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) berikutan banjir di Johor antaranya mengakifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor serta-merta pada 8 pagi hari ini.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan memaklumkan tujuh daerah di Johor yang terjejas dengan bencana itu setakat semalam adalah Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Kulai, Johor Bahru dan Pontian.

“Pelaporan terkini kejadian bencana di setiap daerah yang terjejas akan dikemas kini setiap empat jam. Pelaporan akan dikemas kini menerusi laman rasmi Pengurusan Bencana JKR Malaysia (e-Bencana). JKR Negeri dan Daerah juga sentiasa bersiap sedia membantu orang awam dalam penyaluran maklumat terkini dan pertanyaan berkaitan dengan penutupan jalan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pihak konsesi bersama JKR Daerah turut bersiap siaga di laluan yang dinaiki air sebagai persediaan jika berlaku kecemasan yang tidak diingini manakala, Pelan Pengurusan Trafik telah disediakan oleh pihak konsesi Persekutuan dan negeri untuk membantu kawalan trafik di lokasi yang terjejas.

Menurut KKR, pada masa yang sama, pemantauan paras air naik dan turun turut dilaksana bagi memastikan jalan atau laluan tersebut boleh dibuka kepada orang awam atau sebaliknya.

Bagi daerah yang masih dalam proses pelantikan konsesi negeri iaitu Kluang, Batu Pahat, Segamat, Muar dan Tangkak, peruntukan sebanyak RM250,000 telah disalurkan serta-merta bagi kegunaan Jurutera Daerah mengikut keperluan mendesak berikutan keadaan banjir yang berlaku pada masa kini di Johor.

“JKR Malaysia sentiasa bersiap siaga mengaktifkan aset-aset jabatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan antaranya kesiapsiagaan pasukan jambatan bailey serta aset-aset jabatan. Selain itu, pihak JKR Kota Tinggi turut bersama-sama membantu membawa pelajar yang sedang menduduki peperiksaan SPM dan membawa pesakit ke hospital,” katanya.

Pada masa yang sama, JKR turut menekankan pentingnya penyaluran maklumat terkini berkaitan banjir dan orang awam boleh mendapatkan maklumat mengenai status jalan yang terlibat serta jalan alternatif bagi jalan yang ditutup akibat banjir dengan menghubungi Bilik Gerakan Bencana JKR Malaysia di talian 03-2610 7727 atau melayari laman web http://bencanaalam.jkr.gov.my.

Orang awam juga boleh memperoleh maklumat jalan alternatif melalui laman sosial rasmi JKR Malaysia iaitu Facebook jkr.malaysia, Twitter @jkrMalaysia dan Instagram @jkrmalaysia.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1440
Kongsi :
Previous post Karnival Kerjaya Melaka tawar 5,000 peluang pekerjaan 11, 12 Mac ini
Next post Kanak-kanak lelaki hilang di sungai ditemukan lemas
Ubah saiz-+=