JKR rangka reka bentuk naik taraf Jalan Tun Hamzah

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

DUYONG 18 April – Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang merangka reka bentuk dan menjalankan proses bagi pengambilan tanah untuk projek menaik taraf Jalan Tun Hamzah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, selepas kedua-dua proses itu selesai JKR akan mengeluarkan tender sekitar Ogos ini atau selewat-lewatnya Januari 2024.

Mohd Noor Helmy berkata, proses pengambilan tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum projek itu dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh dua atau tiga tahun.

“Saya dimaklumkan projek ini banyak membabitkan isu pengambilan tanah, malah separuh daripada peruntukan RM300 juta itu adalah untuk menyelesaikan perkara ini.

“Kita sedang tunggu rangkaan daripada JKR. Kerisauan saya adalah impak sosial projek ini kerana membabitkan pengambilan tanah yang begitu besar.

“Hal ini kerana sepanjang laluan berkenaan ada banyak kawasan perumahan dan surau warisan. Kita risau ia akan terjejas, jadi kita perlu lihat berapa banyak boleh dielakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Moreh Bersama Adun Duyong diadakan di Kompleks Japerun Duyong, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Terdahulu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, Februari lalu memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke persimpangan Semabok Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dalam Daerah Melaka Tengah.

Beliau berkata peruntukan itu disalurkan bagi mengatasi isu kesesakan jalan raya yang menjejaskan beberapa lokasi tumpuan pelancong di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1183
Kongsi :
Previous post Melaka River Cruise sasar kutip hasil RM26.5 juta tahun ini
Next post Tiada aduan kenaikan harga barang di Melaka
Ubah saiz-+=