Jonker Walk dibuka semula, pengunjung wajib lengkap vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 22 Okt. – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengesahkan Pasar Malam Jonker atau lebih dikenali sebagai Jonker Walk sudah kembali beroperasi.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, pembukaan semula itu selaras dengan kebenaran rentas negeri yang diumumkan kerajaan serta peralihan Melaka ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, katanya, dalam usaha memastikan perniagaan di kawasan itu selamat daripada ancaman penularan COVID-19, hanya individu lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan mengunjungi kawasan tumpuan itu.

“Kita kini sedang memuktamadkan bersama bahagian pelesenan MBMB untuk mewujudkan hanya satu sahaja laluan keluar dan masuk ke Jonker Walk.

“Berkaitan SOP, selain lengkap dua dos vaksin, pengunjung juga mesti mematuhi SOP biasa yang ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan sanitasi.

“Saya percaya kita sudah lama hidup dalam suasana pandemik COVID-19, jadi semua sudah tahu tanggungjawab masing-masing mempraktikkan kehidupan dalam suasana norma baharu,” katanya.

ZAINAL menyampaikan sumbangan kepada anak yatim yang kematian ibu dan bapa akibat pandemik COVID-19.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Pengurusan Bersepadu MBMB ISO45001:2018 dan 14001:2015 sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Alam Sekitar MBMB 2021 di Dewan Taming Sari MBMB, hari ini.

Zainal memaklumkan, MBMB merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negeri ini yang melaksanakan sistem pengurusan bersepadu yang bakal memudahkan pembangunan dokumentasi dan pemantauan setaraf standad organisasi antarabangsa.

Dalam majlis itu, MBMB turut menyampaikan sumbangan kepada lapan anak-anak Melaka yang kematian ibu dan bapa akibat pandemik COVID-19 menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1178
Kongsi :
Previous post Bahang PRN: Tempahan bilik Ames Hotel & MetraSquare penuh
Next post PH fail saman pembubaran DUN Melaka
Ubah saiz-+=