JPJ laksana Ops HRA 2022 tumpu 9 kesalahan utama

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

BUKIT KATIL 25 April- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka akan melaksanakan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 bermula 29 April ini sehingga 8 Mei depan.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata operasi itu akan dipecahkan kepada beberapa operasi lain termasuk Ops Poket bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselesaan pengguna disamping mengurangkan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya.

Katanya, Ops Poket itu dilaksanakan bagi meningkatkan keberadaan anggota penguatkuasa JPJ diatas jalan raya bagi mengesan sembilan kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya.

“Sembilan kesalahan utama yang akan dikesan menerusi Ops Poket ini adalah tidak mematuhi isyarat lalu lintas, memandu melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan.

“Lima kesalahan ini tidak boleh dikompaun sepanjang tempoh Ops HRA 2022 namun jika ditangkap akan terus dikenakan tindakan mahkamah.

“Manakala bagi kesalahan keenam adalah memotong garisan berkembar, ketujuh, tidak memakai tali pinggang keledar, kelapan membawa lebih muatan dan terakhir membawa muatan bahaya. Sembilan kesalahan ini adalah fokus JPJ menerusi Ops HRA 2022 berbanding tujuh sahaja kesalahan pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Ops Hari Raya Aidilfitri 2022, di Pejabat JPJ, di sini hari ini.

Muhammad Firdaus berkata, keberadaan anggota JPJ di lapangan dipertingkatkan kepada 70 peratus berbanding sebelum ini hanya 20 peratus ketika perayaan Aidilfitri.

Jelasnya, pihaknya turut menguatkuasa Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan pada 30 April hingga 2 Mei, serta 7 dan 8 Mei depan untuk keselamatan pengguna jalan raya.

“Larangan ini tertakluk kepada jenis-jenis kenderaan berat bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam sahaja selepas (waktu) itu, (kenderaan itu) boleh bergerak.

“Kita hanya benarkan kenderaan yang menghantar barangan keperluan seperti barang makanan, berkaitan keperluan makanan dan sekiranya kenderaan berat membawa muatan lain memerlukan limit pergerakan pada tarikh tersebut,” katanya.

Ujarnya lagi, pemeriksaan turut ditingkatkan kepada 75 peratus bagi operasi mengesan kesalahan pemandu warga asing dan lain-lain kesalahan menerusi Ops Poket di kawasan sekitar negeri ini.

Katanya,  pihaknya turut meningkatkan penguatkuasaan di 12 kawasan hotspot sering berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan lima kawasan di Daerah Melaka Tengah, empat di Daerah Alor Gajah dan tiga di Daerah Jasin.

“Dalam kawasan itu juga, lima kawasan dalam Daerah Melaka Tengah itu juga antara hotspot sering berlaku kesalahan jalan raya yang dilakukan pengguna iaitu Lebuh Alor Gajah – Melaka- Jasin (AMJ), Jalan Umbai-Sungai Udang, Jalan Rembia- Kendong, Jalan Sungai Udang- Lubuk China, Jalan Melaka-Muar dan Jalan Tehel-Bemban- Chabau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2002
Kongsi :
Previous post Maybank mohon maaf berikutan gangguan perkhidmatan terpilih
Next post JPJ Melaka lelong 30 kenderaan sita selepas Aidilfitri
Ubah saiz-+=