Juadah istimewa untuk pelanggan tetap gerai Bazar Ramadan Masjid Tanah

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

LENDU 18 Mac – “Saya sediakan juadah istimewa jangek masak lemak cili padi, sambal jawa dan daging bali, khas untuk pelanggan tetap gerai Bazar Ramadan Masjid Tanah yang saya rindui.

“Selepas setahun tidak bertemu inilah peluang untuk mereka menikmati semula daging salai masak lemak cili padi dan menu istimewa yang saya tambah untuk tahun ini,” kata Mohd Farhan Azwan Mohd Azlan, 33.

Usahawan katering itu dikenali dalam kalangan pelanggan dan peniaga Bazar Ramadan Masjid Tanah di pekan ini sebagai peniaga paling lama sejak bazar itu beroperasi pada 1994, selain peniaga yang menyediakan lauk-pauk paling banyak.

MOHD FARHAN melayan pelanggan di gerai lauk-pauk terpanjang di Bazar Ramadan Masjid Tanah pada 2019.

Katanya, beliau tidak sabar untuk bertemu pelanggan pada 13 April ini selepas setahun Bazar Ramadan tidak beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 mulai 18 Mac tahun lalu.

“Saya rindu pelanggan tetap yang mencari juadah tradisi seperti daging salai dan siput sedut masak lemak cili padi kerana ada antara mereka sudah berbuat demikian sejak saya mula berniaga bazar Ramadan pada 1994,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Solok Duku, di sini hari ini.

Mohd Farhan berkata, kebenaran diberikan kerajaan kepada perniagaan Bazar Ramadan tahun ini amat menggembirakan kerana perniagaan juadah berbuka puasa dalam talian tahun lalu tidak seperti yang diimpikan disebabkan permintaan rendah berbanding bazar konvensional pada tahun-tahun sebelumnya.

Kelmarin Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan membenarkan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri serta solat Tarawih di semua negeri mulai 13 April ini.

Mohd farhan berkata, beliau akan mengekalkan penyediaan 50 jenis lauk-pauk yang menjadikannya sebagai penyedia bahan makanan paling banyak di bazar berkenaan.

Berbekalkan kemahiran memasak pelbagai jenis lauk, beliau menyediakan pelbagai juadah berkenaan mulai tengah hari sebelum memulakan perniagaan pada jam 3.30 petang.

Katanya, beliau tidak pernah menyifatkan ratusan peniaga makanan, terutama lauk-pauk yang lain di bazar berkenaan sebagai pesaing, sebaliknya sebagai pendorong untuknya terus menyediakan lauk-pauk yang lazat dan memenuhi selera pelanggan.

“Yang paling digemari ialah tiga lauk masak lemak cili padi, iaitu siput sedut, daging salai dan rebung dengan perut,” katanya.

Dengan dibantu beberapa abang, adik dan pembantu, beliau menyediakan pelbagai jenis bahan makanan itu dengan menggunakan 15 dapur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

922
Kongsi :
Previous post Suspek bakar rakan pindah-randah elak ditahan
Next post Liga Super: Selangor rentap ego JDT
Ubah saiz-+=