Suspek bakar rakan pindah-randah elak ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

REMBIA 18 Mac – Suspek utama kes membakar rakan di Kampung Lendu, di sini pada 9 Mac lalu berpindah-randah untuk mengelak dikesan polis.

Bagaimanapun, kelicikannya melarikan diri daripada buruan polis berakhir apabila ditahan di sebuah bilik hotel di Jalan Persisiran Bunga Raya, Melaka malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, hasil intipan, sepasukan anggota polis menyerbu bilik di tingkat 13 dan menahan lelaki berusia 29 tahun pada jam 10.50 malam.

ARSHAD…suspek ditahan di sebuah bilik hotel di Jalan Persisiran Bunga Raya, Melaka malam tadi.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai mendaftar masuk bilik berkenaan dengan teman wanitanya tetapi wanita terbabit tiada di dalam bilik ketika serbuan.

“Sejak melarikan diri selepas kes membakar rakannya pada 9 Mac lalu, suspek dipercayai berpindah-randah bagi mengelak dikesan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek masih menghadapi perbicaraan kes penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 39 (C) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, selain dikehendaki bagi kes Seksyen 39(A)(1) ADB 1952.

Katanya, suspek mempunyai 12 rekod lampau, iaitu 10 kes dadah, satu kes jenayah mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan satu kes dikehendaki kes dadah Seksyen 39(A)(1) ADB.

“Suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan bunuh dan usaha mendapatkan perintah reman dibuat hari ini,” katanya.

Pada 12 Mac lalu, polis menahan suspek kedua kes berkenaan, iaitu lelaki berusia 23 tahun di sebuah rumah di Taman Dimensi, Lendu.

Lelaki itu mengaku berada di lokasi kejadian ketika mangsa, penganggur berusia 23 tahun, dibakar oleh suspek utama di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lendu pada jam 5 petang, 9 Mac lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

454
Kongsi :
Previous post Kapal tangki muatan diesel bernilai RM1.8 juta dirampas
Next post Juadah istimewa untuk pelanggan tetap gerai Bazar Ramadan Masjid Tanah
Ubah saiz-+=