Jualan Proton meningkat 41.2 peratus bulan ke bulan pada Mac 2022
Bagi suku pertama berakhir Mac 2022, pembuat kereta nasional itu mengalami jualan merosot sebanyak 18.6 peratus kepada 26,706 unit bagi tahun ke tahun, berikutan pelbagai cabaran seperti banjir yang telah menjejaskan vendor tempatan, gangguan dalam logistik dan kekurangan cip.
Proton bagaimanapun berjaya menguasai pasaran sebanyak 17.5 peratus pada suku pertama itu sekali gus membolehkannya menduduki tempat kedua dalam ranking jualan automotif negara.
Walaupun jualan Mac 2022 merekodkan penurunan tahun ke tahun sebanyak 13 peratus namun jualan Saga, model yang terjejas teruk pada Januari, meningkat dengan mencecah 6,422 unit dan mencatatkan prestasi terbaiknya sejak November 2013.
“Ini bukan sahaja menjadikan Saga sebagai peneraju jualan untuk sedan segmen A, malah model segmen A paling laris secara keseluruhan,” menurut Proton dalam kenyataan pada Isnin.
Mengenai jualan eksport, Proton mengeksport 794 unit kenderaan pada Mac 2022, mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh 108 bulan, dengan Pakistan menjadi pasaran eksport terbesar pada 690 unit.
“Keseluruhan jumlah eksport suku pertama adalah 1,117 unit, melonjak 175 peratus daripada suku yang sama 2021,” tambahnya.
Menurut Proton, X70, X50 dan Exora kekal sebagai peneraju dalam segmen masing-masing dengan jualan sebanyak 2,320 unit; 1,573 unit dan 536 unit pada Mac 2022.
Persona dan Iriz bagaimanapun berada di kedudukan tempat ketiga dan keempat dalam segmen masing-masing kerana persaingan sengit dan kekurangan alat ganti terus menjejaskan jualan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata tiga bulan pertama 2022 adalah sangat mencabar bagi Proton dan pelanggan berikutan isu pengeluaran yang terus memberi tekanan kepada potensi sebenar pihaknya dan menyebabkan tempoh menunggu yang panjang untuk mendapatkan kereta.
Beliau berkata walaupun bekalan alat ganti dan jumlah pengeluaran mula stabil pada Mac namun syarikat masih menjangkakan beberapa lagi gangguan berlaku dalam beberapa bulan akan datang apabila industri lain turut meningkatkan pengeluaran mereka.
“Bagaimanapun, sepanjang tahun ini, Proton masih bermatlamat untuk mencapai sasaran dengan kerjasama vendor dan pengedar bagi melancarkan rangkaian bekalan untuk menyerahkan kereta kepada pelanggan.
“Kami juga sedang mencatatkan kemajuan dalam menyelesaikan isu selepas jualan dan oleh itu, syarikat yakin boleh meningkat semula dengan kukuh pada suku berikutnya,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.