Jumlah kutipan, pembayar zakat Melaka meningkat – KM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDARAYA MELAKA 22 September – Zakat Melaka mencatatkan kutipan sebanyak RM77.20 juta setakat 31 Ogos lalu, meningkat sebanyak RM15.12 juta atau 24.36 peratus berbanding RM62.07 juta bagi tempoh sama 2021.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, bilangan pembayar zakat juga meningkat 6.85 peratus atau 47,946 orang berbanding 44,873 tahun sebelumnya.

“Bagi kutipan Zakat Harta secara keseluruhan berjumlah RM71.6 juta, meningkat kepada RM14.56 juta atau 25.55 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2021 iaitu RM57.03 juta.

“Zakat Pendapatan menunjukkan jumlah kutipan tertinggi iaitu RM42.22 juta atau 58.97 peratus, manakala kutipan Zakat Pertanian pula RM40,488.49 atau 0.06 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Majikan Sektor Awam dan Swasta Bagi Tahun 2021 (Skim Potongan Gaji Zakat) di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil; Timbalan Pengerusi Zakat Melaka, Zahari Abd Kalil dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Sulaiman berkata Kerajaan Negeri menerusi MAIM sentiasa mencari kaedah terbaik dalam usaha mengagihkan zakat kepada golongan benar-benar memerlukan.

“Sistem agihan zakat pula kita sentiasa ada penambahbaikan, MAIM akan mencari kaedah boleh membantu menyampaikan zakat. Kita memang mencari asnaf yang layak mengikut kategori, kaedah sedia ada masih lagi kita guna,” katanya

Menurutnya, jika ada bantuan-bantuan lain yang diperlukan mengikut kenaikan kos sara hidup, Kerajaan Negeri sudah pasti akan menyalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2339
Kongsi :
Previous post Allahyarham Mohd Adib, selamat dikebumikan di Makam Pahlawan
Next post JKM sediakan 138 PPS seluruh Melaka
Ubah saiz-+=