Kadar pematuhan pembinaan SOP rendah, pemaju perlu bertanggungjawab

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BUKIT KATIL 4 Mac – Kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pihak pemaju terhadap pembinaan lebuh raya berada pada tahap rendah sehingga mengorbankan nyawa pengguna jalan raya.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Soiman Jahid berkata, kemalangan yang mengakibatkan jejambat runtuh sebagaimana kemalangan berlaku di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Klang (SUKE) semalam, bukan pertama kali berlaku malah berulang-kali sehingga mengancam nyawa pengguna.

SOIMAN berucap pada majlis lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka di Bukit Katil. Foto: MR. Azli

“Peraturan sudah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT), namun pihak yang terlibat terutama pemaju perlu memastikan kontraktor mematuhi peraturannya termasuk mengenakan denda supaya kotnraktor lebih bertanggungjawab.

“Saya lihat dari segi SOP tiada kecacatan, sebaliknya pematuhan di peringkat pelaksanaan itu kurang,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja rasminya ke Ibu Pejabat JBPM Melaka di Bukit Katil di sini, hari ini.

Justeru katanya, kemalangan jejambat runtuh di lebuh raya mampu dielakkan sekiranya syarikat pemaju yang mengendalikan projek pembinaan itu mematuhi pelaksanaan SOP itu.

Jelasnya, dari segi pembinaan lebuh raya, pemaju perlu mengambil kira faktor keselamatan pengguna jalan raya terutama menyediakan amaran ketinggian selain faktor pencahayaan yang lebih baik.

“Dari segi kekuatan dan dan amaran ketinggian (pembinaan) perlu dititik beratkan supaya kenderaan yang melalui tidak melebihi ketinggian projek itu dan tidak akan melanggar stuktur yang merintangi jalan.

“Ini keadaan yang sepatutnya dilihat oleh kontraktor dan pemaju yang mengendalikan projek pembinaan lenuh raya.

“Begitu juga pencahayaan pada waktu malam perlu diterangi supaya memberi indikasi atau petanda bahawa ada halangan struktur di lebuh raya terbabit,” katanya.

Semalam, dua wanita maut manakala tiga lagi termasuk pemandu van kilang cedera selepas kenderaan dinaiki dihempap runtuhan stuktur tapak pembinaan SUKE dalam kejadian pada 6 petang.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada lori treler merempuh perancah besi sebelum mengakibatkan sebahagian struktur binaan jejambat lebuh raya berkenaan runtuh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

541
Kongsi :
Previous post Enam hospital pengajar universiti jadi pusat pemberiaan vaksin
Next post Laporan kebakaran kabel TNB bawah Jambatan Pulau Pinang telah siap
Ubah saiz-+=