Kanak-kanak ditemukan dalam kontena : Tiada unsur pemerdagangan manusia – Saifuddin Nasution

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

JOHOR BAHRU, 20 Jan – Kejadian seorang kanak-kanak lelaki warga asing yang ditemukan di dalam sebuah kontena di dermaga Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada hari Selasa lepas, tidak mengandungi sebarang unsur jenayah pemerdagangan manusia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Fahim itu ditemukan dalam sebuah kontena yang dibawa kapal dari Bangladesh.

“Dia satu-satunya yang ditemukan (dalam kontena) jadi laporan polis dibuat, disiasat dan dia dibawa ke pemeriksaan kesihatan. Kebetulan kanak-kanak ini demam dan kemudiannya proses dilakukan untuk dia dihantar pulang mengikut saluran undang-undang.

“Kita dapati tiada aspek menjurus kepada unsur permerdagangan manusia, ini kerana siasatan awal dia masuk (kontena) kemudian tertidur dan tiba sampai sini. Pihak berkuasa telah buat siasatan, pastikan dia sihat dan kemudian proses penghantaran pulang. Itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak itu ditemukan di dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang dipercayai terkunci selama enam hari di dalam kontena yang berasal dari Chittagong, Bangladesh.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata beliau dijangka bertemu dengan rakan sejawatnya di Nepal, Bangladesh dan Indonesia hujung bulan ini bagi menerangkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata pelan itu melibatkan lima sektor dan subsektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja).

“Kejayaan kepada anjakan polisi ini bergantung kepada negara sumber agar dapat dibekalkan pekerja dalam sektor kritikal ini. Lawatan itu untuk saya sampaikan sendiri kepada rakan sejawat mengenai perubahan polisi sekali gus mempermudahkan proses majikan berkehendak kepada tenaga kerja bagi memenuhi keperluan ekonomi.

“Kita harap dengan pemakluman ini, negara berkenaan terutama tiga negara sumber tadi iaitu Nepal, Bangladesh dan Indonesia, mereka akan dapat berikan kerjasama yang sewajarnya ke arah menjayakan perubahan anjakan polisi yang kita umumkan,” katanya.

Selasa lepas, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dilapor berkata kerajaan akan melaksanakan program Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi menyegerakan proses permohonan serta kelulusan penggajian pekerja asing bagi lima sektor dan sub sektor kritikal.

Menerusi pelan itu, majikan akan dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1076
Kongsi :
Previous post Tak sangka Mak Misah jadi mangsa
Next post Amaran angin kencang, laut bergelora di beberapa negeri hingga 25 Jan
Ubah saiz-+=