KASA cadangkan perkongsian air antara negeri, selesaikan masalah bekalan air

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 10 Julai – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mencadangkan agar perkongsian air di antara negeri diwujudkan bagi menyelesaikan masalah bekalan air.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usahasama seperti itu amat penting bagi memastikan negeri yang mempunyai lebihan bekalan air dan negeri yang mengalami kekurangan bekalan air itu perlu memberi manfaat pada kedua-dua negeri terlibat selain memastikan isu bekalan air tidak menjejaskan kehidupan rakyat.

“Di Malaysia, antara negeri yang mempunyai banyak air ialah seperti Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah.

“Negeri-negeri ini memang tidak mempunyai masalah pada masa sama, ada negeri lain di Malaysia yang mempunyai masalah (kekurangan air).

“Jadi, kita akan bincang bagaimana dapat diwujudkan perkongsian di antara negeri yang banyak air dengan negeri yang kekurangan air. InsyaAllah kita harap kerjasama ini dapat mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat perbincangan di antara KASA dengan Kerajaan Negeri Melaka berkaitan pengurusan air, alam sekitar dan gaya hidup hijau di Seri Negeri, di sini, semalam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai masalah air kritikal yang dijangka akan dihadapi Malaysia dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang seperti yang dinyatakan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam, Tuan Ibrahim berkata, pihak kementerian sentiasa mengambil berat terhadap laporan semua pihak dan akan menyediakan satu perancangan besar bagi memastikan bekalan air negara sentiasa mencukupi.

Views:

276
Kongsi :
Previous post PAS minta jangan politikkan institusi pendidikan
Next post Norhizam dijangka kembali bertugas dalam masa terdekat
Ubah saiz-+=