Kasih moyang jadi ‘mak’ besarkan enam cicit

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BUKIT KATIL 9 April – Selagi ada kudrat dikandung badan, seorang moyang berusia 79 tahun tekad membesarkan enam cicitnya sehingga akhir hayat.

Awa Minhat, yang menetap di Kampungku Sayang, di sini, mengakui masih mampu menjaga enam cicit berusia 7 hingga 19 tahun yang telah dijaganya sejak kecil lagi meskipun menghidap penyakit kencing manis.

Katanya, tidak seperti kanak-kanak lain, cicitnya berdepan dugaan apabila keretakan rumah tangga memusnahkan impian mereka merasai kasih sayang insan digelar ibu dan bapa.

Katanya, sejak berpisah, ibu kandung cicitnya itu telah mempunyai keluarga baharu, manakala ayah mereka pula sedang menjalani hukuman di Penjara Lipat Kajang, Jasin.

Meskipun hidup bebekalkan pencen RM1,000 sebagai bekas atendan Hospital Melaka, ia bukan penghalang Awa untuk meneruskan kudratnya menjaga cicitnya yang menggelarkannya sebagai ‘mak’ sejak kecil lagi.

“Salah seorang daripada cicit saya ada yang menghidap masalah usus dan terpaksa menjalani rawatan susulan di hospital sekali atau dua kali sebulan hingga menyebabkan adakala tidak dapat hadir kesekolah.

“Saya mengambil tugas untuk menjaga mereka memandangkan ibunya mempunyai keluarga baharu selain nenek mereka telah lama meninggal dunia akibat kanser payudara.

“Saya pernah cakap kepada mereka, kalau hendak ikut ibu kandung saya tak menghalang, tapi masing-masing tidak mahu dan mereka rela tinggal bersama di rumah ini walaupun banyak kekurangan.

“Lagipun ibunya telah berkahwin baharu dan mereka anggap neneklah mak, nenek juga ayah, malah sejak kecil mereka panggil saya dengan panggilan mak,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Menurut Awa, kesemua cicitnya tidak pernah meminta-minta dan memahami kesusahan hidup mereka sekeluarga termasuk cicit perempuan yang paling kecil berumur 7 tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Baru.

Biarpun berdepan kekangan kewangan, kehidupan sederhana itu tetap diteruskan termasuk menyekolahkan kesemua cucunya agar tidak tercicir daripada pelajaran, terutama seorang lagi cicitnya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

AWA akan cuba memastikan sambutan syawal tahun ini dirasai kesemua cicitnya.

Mengenang Syawal yang bakal tiba, Awa kelihatan sebak, namun dia berjanji akan memastikan sambutan perayaan itu tetap dirasai.

Kudrat si tua itu akan cuba menyenangkan cucunya biarpun Syawal yang disambut serba sederhana dan akan cuba memastikan cicitnya dapat menyarung baju raya baharu.

“Ada wang atau tidak, saya akan berusaha juga untuk membelikan mereka baju raya seorang sepasang.

“Sekurang-kurangnya dapat mengembirakan mereka yang sekian lama tak dapat merasai nikmat beraya bersama kedua ibu bapa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1058
Kongsi :
Previous post Tragedi baiki dapur gas: Bapa maut, anak melecur
Next post Johor minta bantuan Indonesia cari penyelam remaja masih hilang
Ubah saiz-+=