Kastam rampas lebih 436 kg dadah bernilai RM32 juta di KLIA

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

NILAI, 6 Sept – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 436.2 kilogram (kg) dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM32 juta di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 29 Ogos lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, JKDM menyita 36 kotak dengan 12 daripadanya mengandungi bungkusan plastik lut sinar yang disyaki berisi pil ekstasi pelbagai warna dan bentuk.

Katanya berdasarkan jumlah berat dadah diperoleh, rampasan berjaya menyekat bahan terlarang itu daripada diedarkan kepada 2.18 juta penagih.

“Pemeriksaan ke atas baki 24 kotak tersebut menjumpai batu bata dan modus operandi digunakan sindiket itu ialah dengan mengikrar barangan yang mengandungi dadah itu sebagai perkakasan.

“Siasatan awal mendapati barangan dagangan itu diimport dari sebuah negara di Eropah dan mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, di Kampung Jijan, di sini hari ini.

Zalzuli berkata hasil siasatan mendapati pengimport menggunakan maklumat palsu dalam dokumen pengimportan menyebabkan tangkapan sukar dibuat keatas pengimport dagangan tersebut.

Beliau berkata rampasan tersebut merupakan yang terbesar direkodkan daripada lima rampasan dilaporkan tahun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

758
Kongsi :
Previous post MCMC komited selesai masalah liputan komunikasi di Durian Tunggal
Next post Insiden cari udang galah, warga emas cedera digigit buaya
Ubah saiz-+=