Keberangkatan Agong di Melaka, nostalgia indah -KM

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PENGKALAN BATU 5 April – Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memasyurkan Masjid Ar-Razzaaq Pasir Puteh Bachang merupakan nostalgia indah buat rakyat Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, secara peribadi beliau bersyukur dan merakamkan setinggi penghargaan serta lafaz penghormatan yang tiada terperinya di atas keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah hari ini.

“Kehadiran baginda berdua mencemar duli ke majlis ini pastinya menjadi nostalgia indah buat patik serta sekalian rakyat Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Permasyhuran Masjid Ar-Razzaaq Pasir Puteh Bachang dan Majlis Berbuka Puasa di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis berkenaan, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut mengiringi pasangan diraja itu, anakanda baginda berdua, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Al-Sultan Abdullah, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Al-Sultan Abdullah.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

8A3636E6-813A-4B3F-BC40-5F34FC3FEB32
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berucap pada Majlis pemasyhuran Masjid Ar-Razzaaq dan Majlis Santapan Berbuka Puasa Bersama Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Pasir Puteh, Bachang, Melaka. Foto: MR. AZLI

Ab Rauf berkata, Melaka bertuah apabila mendapat perhatian baginda dalam memayungi usaha-usaha pembangunan Islam dan umatnya.

“Berkait perihal pembinaan masjid ini, bagi diri patik secara peribadi dan di atas kapasiti rasmi sebagai seorang pemimpin, tiada kalimah yang dapat menyatakan rasa bertuah dan berbangga kerana Tuanku sebagai seorang Raja yang berjiwa rakyat amat prihatin dalam memayungi usaha-usaha pembangunan Islam dan umatnya.

“Lebih-lebih lagi terhadap kemudahan dan keselesaan rakyat ketika melakukan ibadah seharian.

“Kesungguhan kerajaan turut dipamerkan di bawah naungan Tuanku dalam mewujudkan pembangunan yang seimbang antara pembangunan material dan pembangunan rohaniah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3752
Kongsi :
Previous post Pertahan institusi masjid, jangan jadi gelanggang politik – Agong
Next post Dua pekerja Bangladesh maut jengkaut terbalik
Ubah saiz-+=