Kecoh antara penyokong Perak FC, Selangor FC, empat lelaki ditahan

Masa Membaca:58 Saat

IPOH, 21 Mei- Polis menahan empat lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 18 hingga 26 tahun dalam kekecohan yang berlaku antara penyokong pasukan bola sepak Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dalam kenyataan hari ini berkata polis mengesahkan kejadian itu berlaku pada pukul 9.17 malam setelah pihaknya mengesan satu video tular memaparkan berlakunya kekecohan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

“Ujian saringan air kencing terhadap seorang daripada tahanan mendapati positif dadah jenis TFC (ganja),” katanya menambah keadaan kekecohan dapat dikawal pasukan polis bertugas di lokasi kejadian.

Yahaya berkata kesemua tahanan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Justeru, beliau menyeru orang awam yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat (video atau gambar) mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, ASP Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 untuk membantu siasatan.

Media melaporkan perlawanan Liga Super antara Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak malam tadi dicemari insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2461
Kongsi :
Previous post Mayat dalam tangki najis: Polis sedang kesan lapan suspek rakan serumah
Next post Jadikan nilai perpaduan aset utama negara – Al-Sultan Abdullah
Ubah saiz-+=