Keikhlasan rahsia kejayaan Muhammad Asmawi

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 26 Mei – Bermula hanya dengan jualan amal barangan terpakai, siapa menyangka aktiviti dijalankan dengan penuh rasa keikhlasan itu mampu menjana pulangan lumayan sehingga dapat membantu lebih ramai mereka yang memerlukan.

Malah bagi merealisasikan hasratnya, Muhammad Asmawi Sulaiman, 28, sanggup mengambil risiko dengan membuat pinjaman peribadi bagi memulakan sebuah perusahaan sosial, tiga tahun lalu.

Muhammad Asmawi, berasal dari Kuantan, Pahang kini sudah boleh tersenyum lebar apabila usaha dicetuskan mula memberikan impak ekonomi belia di negara ini.

Bagi menghargai kegigihannya itu Muhammad Asmawi diumumkan sebagai johan kategori lelaki bersempena Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2024.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Asmawi berkata, kekangan dana menjadi cabaran utama dalam usaha untuk merealisasikan impiannya itu.

“Dana itu dicari untuk saya melakukan kerja kebajikan, membantu mereka yang memerlukan. Awalnya agak perit tetapi kini di bawah penyeliaan saya sudah ada empat kedai fizikal.

“Malah menerusi pertubuhan yang diterajui, kami dapat membantu memudahkan golongan belia melangsungkan perkahwinan dengan menawarkan pakej mampu milik,” katanya.

Muhammad Asmawi berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid; Pemimpin-pemimpin Kanan Kerajaan Persekutuan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Menurutnya, pada awal pencalonan dia tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana terdapat puluhan ikon belia dari negeri Pahang dan semuanya melakar pelbagai pencapaian menarik.

“Alhamdulillah, ini satu penghargaan untuk diri saya kerana anugerah ini besar nilainya dan tidak semua orang dapat miliki.

“Anugerah ini akan menjadi untuk saya melangkah lebih jauh dalam aktiviti pertubuhan belia dan menjalankan aktiviti kebajikan kerana bagi saya ini adalah amanah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

215
Kongsi :
Previous post Esther contoh belia berkualiti
Next post Seorang bakal jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah
Ubah saiz-+=