Esther contoh belia berkualiti

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 26 Mei – “Langsung tidak pernah sangka akan menerima anugerah ini kerana ramai yang lebih layak, namun begitu ini adalah satu penghargaan buat diri saya,” kata Esther Ezhilnaggai.

Esther Ezhil, 21, adalah johan bagi kategori wanita bagi Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2024 bersempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat Kebangsaan.

Penuntut Universiti Malaya (UM) ini berkata, anugerah diterima membakar semangat dalam dirinya untuk terus aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan khususnya menerusi platform pertubuhan belia.

“Sebenarnya saya tidak tahu akan dinobatkan sebagai johan dan apabila nama diumumkan seakan tidak percaya tetapi jauh disudut hati terselit perasaan gembira.

“Meskipun sebelum ini pernah menerima beberapa anugerah tetapi ABPN ini antara anugerah terbesar yang saya pernah diterima dan akan menjadi pembakar semangat pada masa akan datang.

“Anugerah ini akan menjadi pembakar semangat kepada saya untuk meneruskan perjalanan dalam bidang pertubuhan belia selain akan membawa bersama manfaat yang diperoleh ke universiti,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid; Pemimpin-pemimpin Kanan Kerajaan Persekutuan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini berkata, pengalaman sepanjang bergerak aktif bersama pertubuhan belia banyak memberinya peluang untuk menerokai pelbagai bidang serta menyantuni masyarakat.

“Sebagai aset kepada negara golongan belia khususnya perlu berpandangan jauh bukan hanya memberi fokus kepada keadaan sekeliling sahaja.

“Malah kita juga perlu bersikap terbuka untuk menerima pembaharuan dan pandangan. Malah sebagai anak muda juga kita perlu sentiasa menimba ilmu untuk menjadi pemimpin yang baik,” katanya.

Terdahulu, Esther yang diumumkan sebagai johan membawa balik trofi dan wang tunai berjumlah RM20,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

138
Kongsi :
Previous post KBS beri perhatian kebajikan atlet kayak
Next post Keikhlasan rahsia kejayaan Muhammad Asmawi
Ubah saiz-+=