Kemampuan pemilikan rumah bertambah baik – laporan

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Kemampuan pemilikan rumah secara amnya bertambah baik di Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, keseluruhan harga rumah median telah berkurang sebanyak satu peratus setiap tahun secara purata daripada RM298,000 pada 2016 kepada RM289,646 pada 2019.

Dalam tempoh sama, pendapatan isi rumah penengah tahunan meningkat sebanyak empat peratus daripada RM62,736 pada 2016 kepada RM70,476 pada 2019.

“Namun skor gandaan median pada 2019 menunjukkan bahawa rumah sangat tidak mampu milik secara umumnya. Namun, skor gandaan median juga mungkin berbeza mengikut kumpulan pendapatan, jenis harta tanah dan negeri,” menurut laporan itu.

Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019, pemilikan rumah meningkat secara marginal antara 2016 dengan 2019 dengan 76.9 peratus isi rumah memiliki kediaman pada 2019 berbanding 76.3 peratus pada 2016.

Pada kadar ini, pemilikan rumah di Malaysia boleh dianggap tinggi dan memberangsangkan jika dibandingkan dengan negara maju seperti Kanada dengan kadar 66.3 peratus, Amerika Syarikat (65.3 peratus), United Kingdom (65.2 peratus) dan Korea Selatan (56.8 peratus), terutama apabila Malaysia tidak mempunyai matlamat dasar pemilikan rumah universal.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan pemilikan rumah antara negeri contohnya, negeri dengan pemilikan rumah yang tinggi melebihi 84 peratus merangkumi Terengganu, Sarawak, Kelantan, Kedah dan Perlis manakala kadar pemilikan rumah lebih rendah daripada 76 peratus melibatkan Labuan, Kuala Lumpur, Selangor, Sabah dan Pahang.

Berdasarkan analisis yang dijalankan di Kuala Lumpur, Sabah dan Selangor, kumpulan B40 di Kuala Lumpur dan Sabah berhadapan dengan isu harga rumah yang benar-benar tidak mampu milik untuk rumah flat kos rendah, rumah kos rendah dan rumah flat bagi tempoh 2015 hingga 2019.

Selangor pula berjaya menyelesaikan masalah ketakmampuan pemilikan rumah bagi kumpulan B40 untuk rumah flat kos rendah sejak 2016, namun kumpulan sama menghadapi cabaran menaik taraf pemilikan kepada jenis hartanah yang lain di negeri itu.

Sementara itu, isu perumahan tidak mampu milik sangat serius dalam kalangan M40 bagi ketiga-tiga negeri itu dalam tempoh 2015 hingga 2019 kerana M40 di Kuala Lumpur hanya mampu memiliki rumah flat dan tidak berkelayakan memohon di bawah program perumahan kos rendah awam, manakala M40 di dua negeri lagi hanya mampu memiliki rumah flat kos rendah.

Hal ini menunjukkan beberapa negeri menghadapi cabaran lebih besar dalam menyediakan perumahan kepada rakyat, bagaimanapun kerajaan kekal komited dalam menangani isu aksesibiliti dan ketakmampuan pemilikan rumah.

Pelbagai program perumahan awam telah dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta sejak 2000 untuk memenuhi keperluan pelbagai segmen masyarakat terutamanya kumpulan M40 dan B40, termasuk Program Perumahan 1Malaysia (PRIMA), Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), Skim Rumah Pertamaku dan Skim MyHome.

— BERNAMA

Views:

434
Kongsi :
Previous post Kerajaan laksana tindak balas dasar pantas tangani krisis COVID-19
Next post RM26.6 bilion dibelanjakan untuk program jaringan keselamatan sosial tahun lepas
Ubah saiz-+=