Kerajaan laksana tindak balas dasar pantas tangani krisis COVID-19

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Bagi menangani krisis pandemik COVID-19, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan tindak balas dasar secara serta-merta melalui penyediaan suntikan fiskal yang signifikan untuk merangsang ekonomi.

Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Fiskal 2021 yang dikeluarkan hari ini berkata langkah dasar fiskal berkembang melalui peruntukan tambahan dan pelonggaran cukai sangat penting untuk melindungi kehidupan rakyat, menyokong perniagaan dan mengurangkan impak kejatuhan aktiviti ekonomi berikutan krisis.

“Kerajaan telah bertindak secara proaktif dengan melaksanakan pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi dengan pantas bagi menangani krisis yang melibatkan kos terbesar dalam sejarah fiskal Malaysia.

“Keupayaan untuk melaksanakan langkah ini disokong oleh ketersediaan ruang fiskal berikutan usaha konsolidasi fiskal sejak 2009 dan kecairan dalam pasaran domestik yang mencukupi untuk menyokong keperluan pembiayaan tambahan,” kata kementerian itu.

Kerajaan akan memberi fokus mengagihkan perbelanjaan bagi tujuan merangsang ekonomi, meningkatkan pembinaan keupayaan negara melalui pembangunan infrastruktur, melindungi kebajikan rakyat dan menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif.

Peruntukan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan bagi 2020 disemak semula lebih tinggi kepada RM314.7 bilion daripada anggaran awal belanjawan RM297 bilion, peningkatan bersih RM17.7 bilion diperoleh daripada suntikan rangsangan fiskal dianggarkan pada RM38 bilion dan penjimatan perbelanjaan berjumlah RM20.3 bilion.

“Penjimatan ini diperoleh daripada semakan semula program dan projek sedia ada serta pengurangan perbelanjaan disebabkan penjimatan dalam perbelanjaan dan kemajuan pelaksanaan projek yang perlahan semasa tempoh Perintah KawalanPpergerakan (PKP),” katanya.

Menurut laporan itu, sekitar 55 peratus atau RM11 bilion daripada keseluruhan penjimatan merupakan kurangan dalam perbelanjaan pembangunan (DE) manakala bakinya RM9.3 bilion adalah penjimatan dalam perbelanjaan mengurus (OE) iaitu pengurangan dalam subsidi bahan api, perkhidmatan dan bekalan, dan pemberian kepada badan berkanun.

“Peruntukan OE pada 2020 disemak semula lebih rendah sebanyak 5.9 peratus atau RM14.3 bilion kepada RM226.7 bilion daripada peruntukan asal RM241 bilion.

“Semakan lebih rendah ini sebahagiannya berikutan penjimatan terutamanya bagi subsidi bahan api disebabkan oleh penurunan harga minyak mentah dunia dan pengurangan pemberian kepada badan berkanun yang mempunyai rizab tinggi,” kata laporan itu.

Peruntukan perbelanjaan 2020 yang disemak semula tanpa pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi dianggarkan berjumlah RM276.7 bilion.

“Daripada jumlah ini, OE merangkumi RM226.7 billion atau 15.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Selepas ditolak perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan yang merangkumi 27.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan, sektor sosial terus menerima peruntukan terbesar iaitu 37.9 peratus,” kata laporan itu.

Peruntukan OE yang telah disemak semula pada 2020 iaitu sebanyak RM226.7 bilion adalah lebih rendah turun 13.9 peratus berbanding RM263.3 bilion pada tahun 2019.

Manakala peruntukan DE bagi 2020 pula telah disemak semula lebih rendah kepada RM50 bilion berbanding anggaran asal RM56 bilion disebabkan oleh penangguhan dan kemajuan perlahan beberapa projek pembangunan sepanjang tempoh PKP.

“Namun begitu, perbelanjaan untuk subsektor kesihatan dijangka meningkat 57.8 peratus kepada RM2.9 bilion, terutamanya untuk membina dan menaik taraf hospital dan klinik, termasuk Hospital Tanjung Karang, Hospital Kemaman dan Pusat Pakar Pergigian Sabah,” kata laporan itu.

— BERNAMA

Views:

257
Kongsi :
Previous post Kerajaan peruntuk RM322.5 bilion bagi Belanjawan 2021
Next post Kemampuan pemilikan rumah bertambah baik – laporan
Ubah saiz-+=