Kemenangan BN di Paloh akan jadi pemangkin pembangunan kawasan – Hishammuddin

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KLUANG, 2 Mac – Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjanji kemenangan BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi pemangkin kepada program pembangunan menyeluruh di kawasan itu.

Beliau yakin calon BN bagi kerusi DUN Paloh, Lee Ting Han daripada MCA mampu merampas kerusi itu yang disandang Pakatan Harapan (PH), dengan bantuan UMNO dan MIC serta dirinya selaku Ahli Parlimen Sembrong.

“Di Parlimen Sembrong, kita tidak melihat kepada warna kulit dan ia adalah kekuatan yang kita miliki dan saya harap kekuatan itu diterima orang ramai supaya pastikan calon kita menang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama pengundi kerusi DUN Paloh di Kampung Muhibbah, Paloh di sini hari ini.

Hishammuddin berkata beliau berasa lega dengan laporan yang dikemukakan oleh jentera BN khususnya UMNO yang bersungguh-sungguh mahu merampas kerusi DUN berkenaan.

Lee akan berdepan dengan penyandang kerusi, Sheikh Umar Bagharib daripada PH, V.Selvendran daripada Perikatan Nasional (PN) dan Aminuddin Johari yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor menang dengan majoriti 783 undi.

DUN Paloh mempunyai komposisi pengundi terdiri daripada 47 peratus pengundi Melayu, Cina (37 peratus), India (15 peratus) dan satu peratus lain-lain kaum.

Hishammuddin juga meminta pengundi agar tidak ‘termakan’ dengan kontroversi, janji kosong yang tidak berasas dan kempen negatif yang sengaja dilakukan oleh segelintir pihak menerusi media sosial.

Beliau turut memaklumkan satu mesyuarat akan diadakan bersama Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan pada malam ini mengenai perjalanan kempen PRN Johor.

Lawatan Hishammuddin ke Paloh hari ini merupakan penampilan sulung beliau selepas pulih daripada jangkitan COVID-19 pada 22 Feb lepas.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

825
Kongsi :
Previous post Piala Datin Seri Utama Munira beri ‘nyawa’ kepada Liga bola sepak wanita
Next post Tokoh seniman Rahman B meninggal dunia
Ubah saiz-+=