Kementerian Komunikasi terbuka bantu Melaka bangunkan Kampung Digital

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

MELAKA, 27 Jan  — Kementerian Komunikasi terbuka dalam membantu kerajaan negeri membangunkan Kampung Digital. 

Menterinya Fahmi Fadzil berkata program bernas itu juga dilihat berpotensi untuk dikembangkan di seluruh negara jika pelaksanaannya berjaya di Melaka. 

“Dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh semalam, banyak yang dibincangkan dan antaranya adalah Kampung Digital.

“Ia satu program yang bagus dan saya lihat Melaka agak ke hadapan dalam hal ini,” katanya ketika menjadi tetamu khas di Konti MELAKAfm di Jabatan Penyiaran Negeri Melaka sini hari ini.

Pelaksanaan inisiatif Kampung Digital merupakan sebagai satu langkah progresif dalam memodenkan komuniti kampung di negeri ini terutama mengatasi isu ketiadaan alamat rumah yang jelas dan berstruktur dalam kalangan penduduk kampung.

Setiap premis di kampung akan diberikan kod QR iaitu alamat rumah mereka yang hanya perlu diimbas menggunakan telefon pintar untuk dapatkan maklumat rumah di laman Portal Kampung Digital di samping maklumat seperti nombor kod unik premis, alamat penuh, nama mukim, nombor lot rumah, link lokasi rumah dan alamat lama. 

Dalam pada itu itu Fahmi berkata stesen radio negeri kekal relevan dan mempunyai golongan pendengar tersendiri.

“Ia masih penting dan kita mempunyai enam saluran televisyen dan 34 stesen radio termasuk di negeri dan penduduk masih mendengarnya kerana menjadi sumber maklumat. 

“Jadi penting untuk kita jadikan bahan radio itu diterima dan diperlukan oleh rakyat di kawasan atau negeri  tersebut dan bukan sekadar hiburan tapi memberi maklumat tepat malah menjadi sumber sahih yang dipercayai,” katanya. 

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

485
Kongsi :
Previous post Murid tak perlu lagi ‘berjemur’
Next post FAM panggil Intan serah selepas kritik Pan Gon
Ubah saiz-+=