Kemuka hasil lawatan kerja pada Belanjawan Melaka 2024

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 November – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh akan berkongsi butiran mengenai hasil lawatan kerja beliau ke luar negara sebelum ini dalam pembentangan Belanjawan Melaka 2024 akan datang.

Bagi memastikan ekonomi Melaka terus berkembang, beliau giat mempromosikan negeri ini sebagai destinasi mesra pelabur di setiap negara yang dilawati.

Ketua Menteri berkata, hasil lawatan kerja itu dianggap mampu menarik lebih ramai pelancong dan meningkatkan lagi nilai pelaburan Negeri Melaka bagi 2024.

Jelas beliau, usaha memperkenalkan Melaka kepada pelabur tidak boleh dipandang ringan kerana perlu bersaing dengan negeri-negeri lain.

“Usaha bagi mempromosikan Melaka di luar negara dengan tarikan pelancongan dan negeri mesra pelabur adalah tanggungjawab saya. Seperti kata pepatah jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

“Jika tidak perkenalkan Melaka kepada negara luar, maka kita akan berdepan persaingan yang hebat dengan negeri yang lengkap dengan prasarana untuk menjemput pelabur-pelabur ini.

“Saingan cukup hebat jadi sudah pastilah dalam saya menjadi ‘jurujual’ Melaka, akan membawa pandangan dan hasil-hasil yang baik ke bumi bertuah ini, nanti saya akan umumkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Melaka, Sidang 1 Penggal Ke-34 Sesi 2023-2024 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam; Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka, Khairul Adri Rosli.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

662
Kongsi :
Previous post Medan percambahan minda belia
Next post Pengayuh beca diingatkan tidak kenakan harga kayangan
Ubah saiz-+=