Sorting by

×

“Kena kerja dua kali lebih keras” – Zainal

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDAR HILIR 24 Ogos – Pengendali Melaka United Zainal Abidin Hassan optimis memastikan pasukannya tidak tergelincir dari landasan memburu tiket dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Justeru itu, beliau mahu anak buanya bekerja keras mempamer kecemerlangan dalam baki tujuh perlawanan musim ini.

“Kami tahu kedudukan kami tertekan selepas ditolak tiga mata jadi pasukan berada dalam zon bahaya.

“Misi kami adalah untuk meningkatkan kembali prestasi supaya tidak tercicir atau terkeluar daripada Liga Super tahun hadapan.

“Jadi, matlamat pasukan adalah kita kena kerja dua kali (ganda) lebih keras daripada kebiasaan,” katanya baru-baru ini.

Zainal bagaimanapun belum berpuas hati dengan prestasi pemain meskipun meraih kemenangan dalam tiga perlawanan yang diatur sebelum ini.

“Bagi saya, kelemahan sebelum ini adalah di bahagian menjaringkan gol, namun Alhamdulillah dalam tiga perlawanan itu, tujuh gol dijaringkan dan saya harap perkara ini akan berterusan.

“Benteng pertahanan telah pun dikemaskini dan saya harap prestasi kemenangan dalam aksi persahabatan itu dibawa ke dalam perlawanan menentang Perak,” katanya.

Dalam pada itu, kapten pasukan Safiq Rahim berkata, beliau bersama rakan-rakan kini berada pada prestasi yang baik selepas meraih kemenangan dalam aksi persahabatan sebelum ini.

“Saya harap saya dan rakan-rakan akan bagi komitmen penuh dan persembahan terbaik untuk sambung di liga akan datang,” katanya.

Bagi Khairul Fahmi Che Mat, kemenangan yang diraih pada aksi persahabatan sebelum ini bukan kayu pengukur kepada pasukan untuk berada dalam zon selesa.

“Dalam bola macam-macam boleh terjadi, kadang-kadang ketika ‘friendly’ kita ‘perform’, namun pada perlawanan sebenar kita tidak ‘perform’.

“Jadi, sebagai pemain kita tidak boleh leka dan perlu kekalkan momentum serta fokus dalam aksi liga nanti,” katanya.

Bagi pemain pertahanan Razman Roslan, masih ada baki seminggu sebelum aksi perlawanan menentang Perak, beliau mengharapkan kesungguhan kemenangan pada aksi persahabatan sebelum ini diterjemah dalam perlawanan tersebut.

“Setakat ini, saya sebagai pemain berpuas hati dengan persiapan kita, namun banyak yang belum diperbaiki.

“Masih ada tempoh seminggu dan Insha-ALLAH kita akan cuba yang terbaik dan mendapat keputusan yang positif menentang Perak,” katanya.

Views:

299
Kongsi :
Previous post Padang 10 perlu dinaiktaraf
Next post Istiadat Penganugerahan Darjah Seri Paduka Setia Melaka dimulakan
Ubah saiz-+=