Kenderaan berat dilarang berada di jalan raya pada 30 April hingga 2 Mei, 7 dan 8 Mei – JPJ Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 29 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menguatkuasa Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan bermula 30 April hingga 2 Mei, serta 7 dan 8 Mei depan bagi keselamatan pengguna jalan raya dalam Penguatkuasaan & Operasi Bersepadu Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022.

Menurut kenyataan Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ Negeri Melaka, larangan itu tertakluk kepada jenis-jenis kenderaan berat bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam sahaja.

“Kita hanya benarkan kenderaan yang menghantar barangan keperluan seperti barang makanan, berkaitan keperluan makanan dan sekiranya kenderaan berat membawa muatan lain memerlukan had pergerakan pada tarikh tersebut.

“Kita juga akan menguatkuasakan sembilan kesalahan utama dan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan tersebut untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan media HRA 2022 di sini, hari ini.

Ujarnya, OPS HRA 2022 dibuat bagi memastikan kelancaran pergerakan lalulintas dan keselesaan penguna jalan raya dengan lebih selamat selaras dengan slogan ‘Pandu Cermat dan Selamat Sampai Ke Destinasi’.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan pengurusan aktiviti penguatkuasaan HRA 2022 dilaksanakan dengan lebih efektif bagi mencapai sasaran pengurangan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Literasi OPS HRA 2022 dan Advokasi Keselamatan jalan raya dilaksanakan mulai 19 hingga 28 April (semalam), pemeriksaan bas di Depoh dan Terminal Utama bermula 25 hingga 28 April 2022.

“Tempoh kuatkuasa HRA 2022 pula selama lapan hari iaitu pada 29 April hingga 8 Mei 2022 tidak termasuk dua hari cuti umum perayaan Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 3 dan 4 Mei depan,” katanya.

Katanya lagi, sembilan kesalahan menjadi tumpuan utama dalam OPS HRA2022 kali ini membabitkan kesalahan tidak mematuhi isyarat lalulintas lampu merah, memandu melebihi had laju (AwAS), menggunakan telefon bimbit.

“Selain memandu di lorong kecemasan, memotong barisan (potong Q), memotong di garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang keledar, membawa lebih muatan dan muatan bahaya.

“Lima kesalahan (1 hingga 5) tidak boleh dikompaun dalam tempoh penguatkuasaan OPS HRA 2022.

“Penyamaran sebagai penumpang bas juga akan dilakukan bagi memastikan pemandu bas ekspress mematuhi undang-undang ditetapkan serta memastikan pengguna kenderaan perkhidmatan awam (bas) selamat sampai ke destinasi, selain meningkatkan Perception Of Being Caught (POBC) dalam kalangan pemandu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1749
Kongsi :
Previous post Iftar UMNO Melaka disambut penuh kesyukuran
Next post Op Pagar Laut: APMM hasilkan 32 tangkapan
Ubah saiz-+=